Isu air di Libaran berlarutan – Ketua Penerangan Umno Libaran desak kerajaan GRS selesaikan segera

ISU AIR DI LIBARAN BERLARUTAN – KETUA PENERANGAN UMNO LIBARAN DESAK PENYELESAIAN SEGERA KERAJAAN NEGERI

SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Bahagian Libaran, Sharif Ismarhafiz Sh. Abdul Rahman, hari ini menyuarakan kebimbangan serius berhubung masalah bekalan air bersih yang berpanjangan di kawasan Parlimen Libaran, yang melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Gum-Gum, DUN Sungai Manila dan DUN Sungai Sibuga.

Menurut beliau, isu air ini telah menjadi antara masalah paling ketara yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian rakyat di kampung-kampung seperti Kampung Rancangan Luboh Peringkat 6, Kampung Sebait, Tanjung Pisau, Kampung Banting, Kampung Dandulit, Kampung Sungai Beruang, Kampung Sungai Monyet, Kampung Mamanjang serta sekitar Rancangan Sungai Manila.

“Isu ini telah banyak kali dibangkitkan oleh YB Datuk Suhaimi Hj Nasir, Ahli Parlimen Libaran merangkap ADUN Dilantik dan YB Datuk Mokran Ingkat, ADUN Sungai Manila dalam persidangan DUN Sabah dan juga di peringkat Parlimen. Namun sehingga kini, tiada penyelesaian konkrit daripada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pentadbiran GRS,” katanya.

Menurut beliau, walaupun paip utama telah siap dibina, bekalan air masih gagal sampai kepada pengguna. Dalam banyak kampung, tekanan air sangat rendah, dan pengguna terpaksa bergantung kepada catuan air oleh Jabatan Air, terutamanya di kawasan seperti Kampung Tinusa 2.

“Yang lebih mengecewakan, apabila rakyat meminta lori air dihantar ke kampung, alasan yang diberikan ialah ketiadaan kenderaan dan logistik. Tetapi dalam masa yang sama, kita lihat pada tahun 2023, semasa rumah terbuka Aidilfitri oleh seorang menteri, lori air Jabatan Air digunakan untuk bekalkan air. Ini telah diviralkan dan menimbulkan kemarahan rakyat. Janganlah beza-bezakan antara rakyat dan menteri,” tegas beliau.

Dalam Mesyuarat DUN Sabah pada Julai 2024, Datuk Suhaimi telah meminta penjelasan tentang status bekalan air di beberapa kampung, namun jawapan daripada Menteri Kerja Raya Sabah hanya menyatakan kos projek berjumlah RM11.9 juta bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar Dandulit yang siap pada Jun 2023 — tanpa memberikan tarikh sebenar bekalan air akan disalurkan kepada penduduk.

Pada April 2025, Datuk Suhaimi turut meminta penjelasan status tangki air aras tinggi yang telah siap dibina tetapi masih belum beroperasi. Menteri memaklumkan bahawa tangki simpanan di Batu 12 Sandakan hanya dijangka siap Julai 2026, iaitu lebih setahun lagi.

Perkara ini turut disentuh dalam sesi taklimat Jabatan Air Sandakan pada 13 Jun 2025 yang dihadiri oleh Datuk Mokran Ingkat dan Zaini Tiksun, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran, yang mewakili Datuk Suhaimi. Dalam taklimat tersebut, pihak Jabatan Air memaklumkan bahawa bekalan air hanya akan dapat disalurkan selepas siapnya Projek Menaiktaraf Sistem Bekalan Air termasuk pembinaan tangki simpanan di Batu 12 pada tahun depan.

“UMNO Libaran mendesak agar Kerajaan Negeri Sabah mengambil tindakan segera termasuk memperuntukkan dana tambahan untuk menyelesaikan masalah ini secara interim. Rakyat tidak boleh terus menunggu hingga tahun 2026 hanya untuk mendapatkan air bersih,” tegas Ismarhafiz.

Beliau menegaskan bahawa air bersih adalah keperluan asas rakyat dan kerajaan wajib memastikannya dinikmati secara adil dan saksama oleh semua rakyat, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles