Oleh John T
TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan sebulat suara menyokong usul agar Ketua Bahagian parti itu, Dato’ Dr Victor P. Paut dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) N.39 Tambunan pada pilihan raya negeri (PRN) ke17.
Usul tersebut dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan pada Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat N.39 Tambunan Kali Ke-3, Tahun 2025 yang telah berlangsung di Pisompuruan Square, Tambunan disini pada Ahad, 15 Jun 2025.
Kira-kira 3,000 ahli parti terdiri dari perwakilan dan pemerhati daripada 86 cawangan yang menghadiri persidangan itu berdiri teguh menyatakan persetujuan mereka terhadap usul itu yang dikemukakan Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Mohd Yassin Mohd Yunus.
Mohd Yassin berkata, usul mencalonkan Dr Victor sebagai calon mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN N.39 Tambunan pada PRN-17 berlandaskan kekuatan jentera parti itu yang kini dianggotai seramai 16,000 keahlian serta berjaya menubuhkan sebanyak 86 cawangan.
“Angka ini cukup jelas dan membuktikan bahawa kepercayaan rakyat kepada Gagasan Rakyat Tambunan yang diterajui Dr Victor semakin kukuh dan tidak dapat disangkal lagi,” katanya.
“Sepanjang tiga tahun ini, Dr Victor tidak pernah berhenti menyantuni rakyat. Beliau bukan pemimpin yang hanya muncul waktu pilihanraya, tetapi terus berkhidmat, hidup dan bernafas bersama rakyat, berjuang bersama rakyat! Program demi program, sumbangan demi sumbangan ini bukan retorik. Ini adalah komitmen beliau.
“Berlandaskan kekuatan jentera parti dan komitmen beliau, Gagasan Rakyat Tambunan mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti agar Ketua Bahagian kami, Dato Dr Victor P. Paut diangkat sebagai calon GRS pada PRN-17 tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Tambunan, Rahim Yasin berkata, cadangan mencalonkan Dr Victor sebagai calon selari dengan sokongan padu yang diterima daripada rakyat Tambunan terhadap Gagasan Rakyat.
“Sejak 2023 menarajui dan membimbing parti Gagasan Rakyat hingga ke hari ini, beliau tidak berhenti menghulurkan pelbagai bantuan yang diperlukan rakyat, meskipun bukan seorang wakil rakyat.
Sikap penuh rendah hati, jujur dan dermawan yang dimilik seorang pemimpin seperti Dr Victor telah sekian lama dinantikan rakyat Tambunan. Maka Beliau adalah calon paling tepat untuk mewakili GRS bagi kerusi DUN Tambunan.
“Kami yakin Dr Victor adalah `winnerbale candidate’ dan akan membantu GRS memperolehi kemenangan besar pada PRN-17.
Sehubungan itu, kami mencadangkan agar pucuk pimpinan parti dapat mempertimbangkan usul kami agar Dr Victor dicalonkan bagi kerusi DUN N.39 Tambunan pada PRN-17 tahun ini,” katanya.
Persidangan itu turut hadir Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Mohd Yassin Mohd Yunus, Hussein Hassan (Naib Ketua Bahagian); Mohd Hajjaz Iqbal (Setiausaha Bahagian)Rahim Bin Yasin (Ketua Penerangan); Ar Rafi Bin Yasin, (Ketua Pergerakan Pemuda) dan Vianney Evanna Vide (Ketua Pergerakan Beliawanis) serta pemerhati Gagasan Rakyat Bahagian Bingkor Denis Bin Gapilit bersama rombongan.
Pada majlis itu, Dr Victor turut menerima sebanyak 166 borang keahlian baru Gagasan Rakyat daripada cawangan Tudok, Tiang Tonop, Minonun, Monsorulung dan Dabata.