KOTA KINABALU: Anggota parti Umno perlulah terus berhati-hati dengan pemimpin yang bercakap soal perjuangan sedangkan dalam keadaan Umno ‘kalah’ mereka cepat beralih arah dan melompat ke parti lain.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Umno Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata mereka yang meninggalkan parti di saat tewas bukan pejuang sebaliknya pengkhianat parti.
Oleh itu, katanya, Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bertekad untuk terus memperjuangkan Umno dan tidak mahu parti itu dikhianati berkali-kali.
“Jangan lupa wajah-wajah yang tak setia. Di negeri Sabah, semua rakyat tahu siapa pemimpin ini dan dari mana asal parti mereka dan berapa kali melompat parti.
“Bila kalah sahaja parti yang pernah memberikan segala-galanya, lompat biarpun ketika itu pemimpin ini bukan YB.
“Terpulanglah pada niat dn hajat pemimpin tersebut, yang pasti Allah swt maha mengetahui siapa yang benar siapa yang tidak…dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jeffery Nor yang juga Ketua Umno Putatan berkata demikian ketika mengulas kenyataan
Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali semalam mengenai pendirian Barisan Nasional (BN) yang hanya bekerjasama dengan GRS selepas PRN.
Armizan berkata bahawa beliau bersetuju sekiranya gabungan itu bertembung dengan BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) selepas mengambil kira ‘hajat’ Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Jeffery berkata Sabah semasa ditinggalkan beberapa pemimpin Umno termasuk Armizan, Bung menghadapi segala cabaran dan dugaan untuk memimpin UMNO Sabah.
“Sudah tentu pilihan yang ada padanya ialah mengembalikan UMNO Sabah pada landasan yang sebenarnya.
“InsyaAllah UMNO Sabah sekarang punya ramai wajah baru yang lebih realistik dalam perjuangan, dan sudah tentu kami bersependapat dan senada dengan pimpinan kami selaras halatuju parti.
“Yang penting jangan sekali-kali kita lupa pada jasa dan budi Umno Sabah selama ini kepada mereka yang telah lari daripada perjuangan ini kerana istilah ‘kufur nikmat’ itu senantiasa ada pada mereka yang lupa segala jasa dn budi UMNO,” katanya.
