Pertandingan mesra’ cetus persoalan, WARISAN bakal raih untung?

Oleh Mohd. Zaki Harry Susanto

TAWAU : Dalam suasana politik Sabah yang semakin hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, wujud satu istilah yang kini sering disebut oleh para pemimpin politik iaitu ‘pertandingan mesra’.

Istilah ini timbul susulan kenyataan bahawa Barisan Nasional (BN) akan bertanding menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di beberapa kerusi meskipun GRS dijangka menjalin kerjasama rasmi dengan Pakatan Harapan (PH).

Namun persoalannya, adakah benar-benar wujud maksud ‘mesra’ dalam sebarang bentuk pertandingan politik? 

Dalam konteks realiti pilihan raya, setiap pertembungan akan membawa kepada perebutan undi dan pastinya mencetuskan perpecahan dalam kalangan penyokong.

Menurut penganalisa politik, Mohd, Zaki Harry Susanto, ‘Pertandingan mesra’ mungkin wujud dalam bentuk retorik politik bagi mengekalkan imej harmoni sesama parti kerajaan di peringkat Persekutuan, namun impaknya di peringkat akar umbi berbeza. 

“Di kawasan majoriti Bumiputera Sabah, pertembungan antara calon BN dan GRS meskipun dikatakan secara ‘mesra’ tetap akan memecahkan undi blok kerajaan.

Pendekatan ini juga dilihat menguntungkan pihak lawan terutamanya parti seperti WARISAN yang dijangka tampil sebagai alternatif kepada pengundi yang bosan dengan percaturan kuasa dalam gabungan kerajaan. 

“WARISAN, yang dilihat konsisten dalam pendiriannya sebagai pembangkang, berpotensi mengaut keuntungan politik daripada kekeliruan dan ketidaksepakatan dalam kalangan blok kerajaan.”

Zaki turut menambah, rakyat Sabah secara tradisinya lebih cenderung kepada parti yang menunjukkan pendirian jelas dan tidak terlalu bergantung kepada gabungan luar. 

Dalam hal ini, WARISAN berupaya memainkan sentimen nasionalisme Sabah dan mendakwa dirinya sebagai suara tempatan yang tulen, berbanding gabungan ‘sementara’ antara GRS, PH dan BN.

“Situasi menjadi lebih kompleks apabila GRS memilih untuk bersama PH, sebuah gabungan yang selama ini menjadi saingan ideologi kepada BN di peringkat nasional. 

Maka, apabila BN pula memilih untuk ‘mesra bertanding’ dengan GRS, mesej yang dihantar kepada pengundi menjadi kabur dan bercelaru.

“Tidak mustahil juga sebahagian jentera akar umbi BN akan berasa keliru dan kurang semangat untuk berkempen, apatah lagi jika calon GRS dan BN bertanding di kawasan yang sama. 

Dalam suasana begini, semangat kerja berpasukan yang sepatutnya mengukuhkan kerajaan mungkin tergugat,” tegas Zaki lagi.

“Jika tujuan utama pertandingan mesra ialah untuk memberi pilihan kepada pengundi atau sebagai ‘plan B’ sekiranya rundingan kerusi gagal, maka ia wajar dijelaskan secara telus kepada rakyat. Ketiadaan penjelasan akan membuka ruang kepada naratif pembangkang bahawa gabungan kerajaan tidak stabil dan hanya berpaksikan kuasa.”

Secara keseluruhannya, istilah ‘pertandingan mesra’ lebih berbentuk kosmetik dan tidak berakar kepada realiti politik pilihan raya yang penuh dengan persaingan, perebutan pengaruh dan angka. 

Jika tidak ditangani dengan strategi komunikasi politik yang bijak, GRS, PH dan BN bakal kehilangan momentum, manakala WARISAN menunggu peluang untuk menawan semula hati rakyat Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles