SANDAKAN: Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Libaran hari ini mengumumkan bahawa Program Penyerahan Deposit Meter Air untuk empat buah kampung di kawasan Libaran terpaksa ditangguhkan atas permintaan Jabatan Air Sandakan susulan masalah bekalan air bersih yang masih belum stabil.
Ketua Pegawai Perhubungan Patlimen Libaran, Zaini Tiksun berkata Program yang melibatkan penduduk Kampung Banting, Kampung Dandulit, Kampung Sungai Beruang dan Kampung Kuala Gum-Gum sebelum ini dirancang bagi membantu penduduk luar bandar mendapatkan akses kepada kemudahan asas melalui sumbangan Ahli Parlimen Libaran, YB Datuk Suhaimi Hj Nasir.
“Penangguhan ini berlaku kerana Jabatan Air Sandakan masih belum dapat memberi jaminan bila bekalan air akan kembali stabil, malah satu tangki simpanan air di Jalan Dandulit Batu 12 yang telah siap sepenuhnya juga masih belum dapat digunakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau lagi, sebuah lagi projek tangki simpanan utama berkapasiti 5 juta liter di Jalan Sungai Manila yang sepatutnya menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu air di kawasan ini hanya dijangka siap pada Julai 2026, dan setakat ini kemajuan fizikalnya baru mencapai 58 peratus.
Sehubungan itu, Zaini menggesa kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Air Sabah agar mengambil langkah segera dengan melaksanakan inisiatif interim untuk menyalurkan bekalan air bersih ke kampung-kampung terbabit, tanpa perlu menunggu sehingga projek siap sepenuhnya.
“Rakyat tidak boleh terus menunggu. Akses kepada air bersih adalah hak asas yang mesti dipenuhi segera,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kelewatan dalam menyalurkan bekalan air bersih memberi kesan langsung kepada kualiti hidup penduduk luar bandar dan perkara ini perlu ditangani dengan komitmen serta keutamaan yang tinggi oleh pihak berwajib.
