TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai Sarifuddin Hata menggesa pihak berwajib melakukan siasatan terperinci berhubung runtuhan benteng kolam takungan di lombong emas di Bukit Mantri.
Beliau berkata, insiden itu menimbulkan kebimbangan terhadap risiko pencemaran sisa toksik jenis sianida terutamanya di Sungai Kalumpang dan kawasan berhampiran.
“Saya dapati wujudnya pertikaian antara dua syarikat konsesi perlombongan emas yang beroperasi di Bukit Mantri dan insiden ini dapat dielakkan sekiranya terdapat pelan mitigasi dan prosedur operasi standard yang betul,” katanya.
Sarifuddin berkata, kelemahan dalam sistem penyelenggaraan kemudahan itu telah menyebabkan kebocoran dan runtuhan benteng kolam yang menyimpan sisa toksik jenis sianida.
“Saya dapati syarikat terlibat telah memjutar belit fakta yang mengatakan mereka telah mematuhi garis panduan alam sekitar,” tegasnya.
Sarifuddin memdedahkan bahawa sebuah syarikat konsesi menghantar surat rasmi kepada Jabatan Alam Sekitar (JPAS) pada 2023 bahawa mereka bukan lagi pengendali di kawasan itu dan telah membatalkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mereka.
“Terdapat kebimbangan kemungkinan syarikat itu menyalahgunakan injunksi mahkamah untuk membaik pulih benteng kolam yang rosak dan sistem saliran sedia ada untuk membina saliran baharu yang boleh membuang air asid tinggi ke dalam sungai berdekatan.
Sehubungan itu, beliau mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.
Pelbagai agensi kerajaan telah bertindak balas terhadap insiden ini termasuk JPAS, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Perhutanan Negeri, selain Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah yang diketuai Majlis Perbandaran
Tawau.
Katanya, pemeriksaan di lapangan mendedahkan benteng kolam milik syarikat itu runtuh akibat kebocoran, menyebabkan air yang bertakung melimpah dan membanjiri rumah pekerja, kebun buah dan dikhuatiri boleh melimpah ke Sungai Kalumpang.
Sarifuddin menyifatkan insiden ini sebagai bencana alam sekitar yang serius dan memerlukan tindakan pantas bagi melindungi alam sekitar, hidupan liar dan kesihatan awam daripada kesan pencemaran yang mungkin berlaku.