DUN terbubar sendiri baru diadakan PRN ? Mengapa ini harus terjadi – Ikuti analisis Dr Kanul Gindol

KOTA KINABALU: Suatu ketika dulu lagu D’LLoyd – Mengapa Ini Semua Harus Terjadi begitu popular sehingga menjadi siulan anak-anak muda Sabah 70an.

Kini lagu itu bergema dalam hati rakyat negeri ini bukan kerana kemerduan lagu itu tetapi liriknya yang senada penantian tarikh pembubaran PRN Sabah yang pastinya mendebarkan – namun masih tak kunjung tiba.

Lima bulan ke hari terakhir pembubaran automatik DUN Sabah pada November ini, nampaknya pimpinan GRS masih berteka-teki dalam kebanyakan pendiriannya.

Aktivis sosial dan penganalisis politik Dr Kanul Gindol berkata  berbanding PRN-PRN Sabah yang lepas, kali ini PRN Negeri semacam sudah kehilangan “element of surprise” kerana pilihanraya kini bila-bila masa berlaku dalam lima bulan terakhir ini, tinggal menunggu pembubaran DUN.

Katanya ketika PH dan BN sudah lebih kurang sudah menetapkan sasaran dan pendirian, ada yang mula melihat GRS bagai hilang arah.. rakan GRS belum dimurnikan, pembahagian kerusi semakin menjadi teka-teki, senarai calon terganggu oleh kes rasuah dan ancaman kemungkinan parti komponen meninggalkan GRS untuk mengguna lambang sendiri.

“Sentimen “hanya parti lokal” sedang menggigit lanskap politik Sabah, tambah menambah gelisah pihak kerajaan GRS-PH yang terperangkap dengan tawaran PH dan BN untuk membentuk muafakat.

“Ada kemungkinan tarikh pembubaran DUN Sabah kali ini terpaksa dibuat ketika isu muafakat GRS-PH-BN belum dapat dituntaskan. Besar kemungkinan hanya ketika sedang DUN bubar, GRS-PH-BN bakal menjadi muafakat terhad antara GRS dan PH sahaja,” katanya kepada Jesselton Times ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan DUN Sabah dibubarkan tidak lama lagi.

Para pemerhati pula ada yang mula berpendapat mungkin sudah tiba kerajaan yang ada agar menetapkan awal jadual pembubaran dan pengundian bagi mengelak teka-teki bila DUN dibubarkan, meskipun DUN itu sendiri boleh juga dibubar pada bila-bila masa, katanya.

Dr Kanul berkata agak jarang berlaku DUN dan Parlimen terbubar sendiri kerana  tamat tempoh, membayangkan kejadian begitu lebih kepada kelemahan membuat ketetapan misalnya kegagalan mengambil kira musim cuaca, cuti sekolah dan “mood” dalam negeri dan serantau.

Ramai pemerhati bersependapat keadaan DUN Sabah yang sudah dalam masa kecemasan lima bulan terakhir sebagai “hal GRS” kerana PH dan BN sudahpun umum bersedia berbahagi kerusi 40 kepada PH dan 33 lagi untuk BN jika GRS tidak dapat memutuskan siapa rakan sekutunya pada PRN ini.

“Reaksi GRS ia hanya bersedia bekerjasama dengan PH dan bukan BN yang diketuai Umno atau Datuk Bung Mokhtar cepat disambut presiden PKR bahawa Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, diberi kuasa mengetuai perbincangan GRS-PN-BN tambah menekan pimpinan lapan komponen GRS ~ PGRS, PBS, Star, SAPP, Usno, PCS, PHRS dan LDP,” kata Kanul.

Menurutnya pembubaran DUN Sabah terus berkabus apabila pimpinan PH dikatakan memaksa GRS dan BN memberi komitmen “apapun terjadi, asalkan GRS dan BN tidak menentang calon-calon PH di 20 kerusi DUN”.

“Ketika BN dan GRS terus gagal bersetuju untuk “kahwin balik” kerana sudah saling benci, ada pihak GRS mencadang tarikh pembubaran DUN pada penghujung Julai ini ketika “mood” baik selesai penganugerahan darjah-darjah kebesaran negeri seperti SPDK dan PGDK kepada kira-kira 100 penerima.

“Jika Julai bubar DUN, besar kemungkinan pengundian dijalankan pada September 2025 ini. Ini bermakna kerajaan sedia ada GRS tidak berpeluang membentang “cadangan” Belanjawan Negerinya yang biasanya dilakukan pada setiap November.

“Begitupun, jika tarikh pembubaran DUN diundur lagi bagi membolehkan Belanjawan Negeri dijadikan gula-gula kepada pengundi, tiada jaminan ia mendorong “feel-good mood” di kalangan orang Sabah ketika negeri masih dibelenggu begitu banyak masalah seperti kes rasuah pemimpin GRS yang sedang jadi bualan ramai, jalanraya yang teruk, bekalan air dan elektrik serta kekurangan keyakinan rakyat jelata,” katanya.

Menurut pengamatan Kanul,  cubaan pihak tertentu meningkatkan imej kerajaan dengan pengumuman Sabah telah dipilih oleh sebuah firma sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan IBR Asean kerana Sabah menjadi “Negeri Paling Cemerlang” beberapa hari lalu, gagal mencapai target bahkan telah menjadi sindiran di media sosial yang dipenuhi komen-komen memperlekeh usahasama kerajaan GRS-PH dan International Business Review (IBR) itu._(Sila semak komen-komen netizen).

Sementara itu, cuti sekolah dari  13 September hingga 21  September 2025 mungkin ada petunjuk berguna pemilihan tarikh pembubaran DUN Sabah, katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles