KOTA KINABALU: Seorang wartawan veteran Sabah menyokong penuh agar Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) edisi ke-6 tahun depan diadakan di negeri ini.
Sambil menyambut baik penganjuran HAWANA setiap tahun, Gundohing Joseph Bingkasan berpendapat penganjur wajar mengambil kira semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam menentukan tuan rumah sambutan itu tahun depan.
Menurutnya ini penting kerana MA63 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf status setara antara wilayah Malaya, Sarawak dan Sabah.
“HAWANA sudah disambut empat kali di Semenanjung dan sekali di Sarawak, maka saya berpendapat eloklah diadakan di Sabah tahun depan.
“Sambutan di Sabah juga akan melambangkan erti sebenarnya Satu Malaysia selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani “ katanya.
Bingkasan berkata demikian ketika mengulas sambutan HAWANA yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Jun ini.
Beliau juga menzahirkan harapan agar kerajaan Sabah akan memberikan sokongan padu kepada sambutan HAWANA jika terpilih menjadi hos acara itu, tahun depan.
“Kita berharap HAWANA ini bukan sahaja disambut oleh pengamal media di seluruh negara tetapi juga melibatkan sama pelajar-pelajar jurusan komunikasi di negeri ini, termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Ini membantu memberi pendedahan, khususnya mereka yang ingin menceburi bidang media atau kewartawanan pada masa depan, “ katanya.
HAWANA, yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran kali pertama pada 2018, merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
HAWANA, antara lain, bertujuan mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia, selain platform kepada pengamal media untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia.
