Pesta Kaamatan Lambang Perpaduan Rakyat, Sokong Parti Tempatan Demi Masa Depan Negeri – Dr. Joachim

Oleh Dr Jikat Binol Darimbang

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Naalap, Manggatal pada Ahad, yang disambut meriah oleh masyarakat setempat pelbagai kaum.

Dalam ucapannya, Dr. Joachim menegaskan bahawa Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR), tetapi juga berperanan sebagai platform perpaduan yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat di Sabah.

Beliau menekankan bahawa semangat Kaamatan perlu dipelihara sebagai simbol identiti budaya dan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai etnik.

Menyentuh aspek politik semasa, Dr. Joachim menyatakan keyakinan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebagai gabungan parti-parti tempatan, merupakan entiti yang paling sesuai untuk mentadbir negeri ini berbanding parti-parti dari luar Sabah.

“Parti tempatan lebih memahami aspirasi dan kehendak rakyat Sabah. Walaupun calon daripada parti luar adalah anak jati negeri ini, mereka tetap terikat dengan keputusan yang ditentukan oleh kepimpinan pusat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan parti tempatan akan memberikan kuasa autonomi yang lebih jelas kepada kerajaan negeri dalam merancang dan melaksanakan dasar yang berteraskan keperluan tempatan.

Dr. Joachim menggesa semua komponen dalam GRS untuk memperkukuh kerjasama demi memastikan kemenangan calon-calon gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri akan datang. Menurutnya, pencapaian majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri adalah penting untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan berupaya menunaikan janji-janji pilihan raya dengan lebih berkesan.

“Kemenangan besar akan memberikan mandat kukuh kepada GRS untuk melaksanakan dasar-dasar yang mengutamakan kepentingan rakyat Sabah,” jelas beliau.

Walaupun menekankan kepentingan parti tempatan, Dr. Joachim turut mengakui bahawa hubungan erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan adalah penting bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran jangka panjang negara.

Menurut beliau, jika parti tempatan berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti besar, Sabah akan dapat mencontohi model hubungan antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, yang kini dilihat lebih harmoni dan berkesan dalam memperjuangkan hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Related Articles

253FansLike

Latest Articles