Oleh: Dr Jikat Binol Darimbang
KOTA KINABALU: Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Malaysia dua kali, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mencadangkan pembentukan sebuah jawatankuasa yang digelar “Payung Besar” – satu entiti yang kononnya akan mengembalikan dominasi politik dan ekonomi orang Melayu, serta menyelesaikan pelbagai masalah yang katanya gagal ditangani kerajaan sedia ada.
Namun, cadangan ini menimbulkan beberapa persoalan yang wajar direnung bersama. Mengapa hanya orang Melayu yang termasuk dalam struktur jawatankuasa ini?
Di manakah suara dan tempat bangsa-bangsa lain yang juga warganegara Malaysia – termasuk kaum India, Cina, dan lebih penting lagi, kumpulan etnik bumiputera Sabah dan Sarawak seperti KDMR (Kadazan, Dusun, Murut, Rungus) – yang juga berdepan dengan cabaran ekonomi dan pembangunan yang serius?
DEB: Masih Relevankah?
Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1971, matlamatnya adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula struktur ekonomi supaya tidak berdasarkan kaum tertentu sahaja.
Namun lebih 50 tahun berlalu, mengapa kelompok bumiputera bukan Melayu – seperti komuniti KDMR dan bumiputera Sarawak – masih ketinggalan dari segi infrastruktur, pendidikan, dan peluang ekonomi?
Adakah kegagalan dasar-dasar terdahulu untuk melibatkan mereka secara menyeluruh telah menyebabkan ketidakseimbangan ini?
Jika benar, maka sebarang “payung besar” baharu juga tidak seharusnya hanya menaungi satu kumpulan etnik sahaja, seolah-olah hanya satu kaum yang layak dibela dan diangkat martabatnya.
KDMR dan Bumiputera Sabah: Bumiputera Kelas Kedua?
Sabah merupakan antara negeri terkaya dari segi sumber alam, namun rakyatnya masih antara yang termiskin di Malaysia.
Banyak kawasan pedalaman masih tidak mempunyai akses jalan raya, air bersih, atau kemudahan kesihatan dan pendidikan yang sewajarnya.
Sementara pemimpin di Semenanjung terus bercakap tentang memperkasakan Melayu, pemimpin Sabah dan Sarawak pula sering terpaksa mendesak agar hak dan pembangunan negeri mereka dihormati dan dipercepatkan.
Tidakkah ini menunjukkan wujudnya ketidakseimbangan yang ketara dalam pentadbiran pusat dan pembahagian hasil negara?
Jika “payung besar” hanya untuk Melayu Semenanjung, maka ia bukanlah satu inisiatif nasional. Ia lebih mirip sebagai langkah politik sempit – yang gagal memahami realiti kemajmukan dan keperluan mendesak rakyat Malaysia di luar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Masa Depan Malaysia: Untuk Semua atau Segelintir?
Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum, agama, dan budaya. Perlembagaan sendiri mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, termasuk di Sabah dan Sarawak. Maka menjadi satu kezaliman sekiranya perancangan masa depan hanya bersifat eksklusif, tidak inklusif.
Kita tidak menolak usaha memperkasa mana-mana kaum yang memerlukan. Tetapi usaha itu mestilah berlandaskan prinsip keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan. Setiap rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan, tanpa mengira kaum atau agama, layak mendapat perhatian dan tindakan.
Jika benar Tun Mahathir mahu menyelamatkan bangsa, maka beliau perlu melihat bangsa Malaysia secara keseluruhan – bukan hanya dari jendela satu kaum. Jika benar mahu membina “payung besar”, maka pastikan payung itu cukup luas untuk melindungi semua rakyat yang berteduh di bawahnya.
