Jangan politikkan kerja pembaikan jalan raya – Umno

Kenyataan Media Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: Saya ingin menarik perhatian Kerajaan Negeri Sabah, khususnya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, mengenai keadaan jalan raya di beberapa kawasan di negeri ini.

Saya lihat ada kerja-kerja membaik pulih jalan-jalan berlubang sedang dijalankan di pelbagai tempat, termasuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

Namun begitu, berbeza di jalan-jalan utama di kawasan saya, khususnya di sekitar Bukit Garam, Sukau dan laluan utama dari Sandakan ke Lahad Datu yang melalui kawasan Kinabatangan, langsung tidak diberikan perhatian.

Hingga ke hari ini, tiada sebarang tanda bahawa kerja-kerja baik pulih atau penyelenggaraan akan dijalankan. Jalan raya di kawasan ini sangat rosak, berlubang-lubang dan membahayakan pengguna.

Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur politik kepartian dalam pengagihan kerja-kerja penyelenggaraan ini. Adakah kawasan saya sengaja disisihkan hanya kerana perbezaan politik? Ini tidak sepatutnya berlaku. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat, bukan berdasarkan siapa wakil rakyat di kawasan tersebut.

Saya ingin menegaskan bahawa tanggungjawab membaiki dan menyelenggara jalan raya terletak pada Kerajaan Negeri melalui agensi yang bertanggungjawab iaitu JKR Negeri Sabah. Jalan raya yang rosak bukan hanya menyusahkan rakyat, malah boleh mencetuskan kemarahan kerana seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap keperluan asas mereka.

Oleh itu, saya memohon dan mendesak agar Kerajaan Negeri Sabah segera melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan di kawasan Kinabatangan, termasuk di kawasan bulatan Pekan Bukit Garam dan kawasan bulatan menuju simpang Sukau, tanpa sebarang diskriminasi politik.

Jangan jadikan infrastruktur asas seperti jalan raya sebagai senjata politik. Rakyat berhak mendapat kemudahan yang selamat dan sempurna tanpa mengira latar belakang politik kawasan mereka.

Saya berharap isu ini diberi perhatian serius demi kepentingan rakyat dan pengguna jalan raya di Sabah, khususnya di kawasan saya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles