Oleh Mohammad Hisyam Hazaril,
Ketua Armada BERSATU Sabah
KOTA KINABALU: Memandang serius ucapan PMX baru-baru ini yang menyifatkan skandal video perbualan berkaitan sogokan melibatkan ADUN-ADUN Sabah sebagai “persepsi politik”.
Kenyataan ini bukan sahaja mengejutkan, malah membangkitkan pelbagai persoalan mengenai komitmen sebenar kerajaan Madani dalam usaha memerangi rasuah di negara kita.
Pertama, adalah amat membimbangkan apabila ucapan tersebut disampaikan di hadapan pemimpin-pemimpin negeri yang dikaitkan serta terlibat dengan video yang tersebar luas itu. Ini satu tindakan yang dilihat boleh ditafsirkan sebagai cubaan untuk ‘membersihkan’ imej individu-individu tersebut di khalayak ramai.
Apakah makna tersirat di sebalik kenyataan ini? Apakah isyarat dihantar menunjukkan bahawa integriti boleh dinegosiasikan demi kepentingan politik?
Kedua, kenyataan itu hadir pada waktu yang amat sensitif. Rakyat kini menanti serta menuntut ketelusan dan tindakan tuntas. Ia menimbulkan spekulasi bahawa isu rasuah ini sedang diperdagangkan sebagai modal untuk mencatur semula landskap politik Sabah.
Adakah ini satu percubaan untuk membentuk gabungan politik baharu dengan menggunakan isu rasuah sebagai umpan untuk berhadapan PRN Negeri yang akan datang tidak lama lagi?
Ucapan tersebut menampilkan satu retorik yang bercanggah dengan nada tegas kerajaan sebelum ini yang kononnya berjanji untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah. Kini rakyat melihat satu kelenturan nada iaitu satu kecenderungan untuk mengaburkan sempadan antara salah laku dan strategi politik.
Apakah ini tanda awal bahawa prinsip tatakelola dan keadilan boleh dilunturkan atas nama politik? Bagaimana ucapan ini mampu mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan? Satu persoalan yang besar bermain difikiran rakyat.
Kami khuatir bahawa ini bukan sekadar ‘persepsi’, tetapi satu simptom yang menunjukkan bahawa kerajaan Madani sedang bergelut dengan dualisme moral untuk mengangkat anti-rasuah sebagai slogan, namun menyelitkan unsur toleransi terpilih dalam praktikannya.
Jika ini dianggap sebagai ‘gejala sihat’ dalam menangani isu rasuah, maka demokrasi kita sedang menuju ke arah yang sangat membimbangkan.
Rakyat tidak mahu janji kosong, mereka mahu ketegasan yang konsisten, bukan sandiwara politik yang membingungkan.