Pelantikan semula amanah besar kemudi PKR Sabah hadapi PRN17 – Mustapha

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya semula sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.

Beliau berkata, perlantikan itu merupakan satu amanah besar dalam mengemudi PKR Sabah menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.

“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas keyakinan yang diberikan, sebagaimana yang dizahirkan oleh beliau, dalam meneruskan peranan kami dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, selaras dengan halatuju kepimpinan baharu dan aspirasi parti, PKR Sabah akan memperkukuh haluan baru menerusi proses rundingan konstruktif bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah sehinggalah membuahkan hasil terbaik buat semua.

“Matlamat kami selaku anak- anak Sabah adalah untuk memperkasa hak dan pembelaan negeri demi memberi manfaat terbaik kepada rakyat Sabah.

Kami menegaskan komitmen kami terhadap prinsip perpaduan, kemajuan dan reformasi, serta bertekad untuk terus menyumbang secara positif ke arah pembangunan dan kemakmuran Sabah di bawah gabungan PH serta membuka ruang kerjasama bersama parti-parti lokal dan nasional,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles