Seramai 350 Petani Sertai Kursus Penanaman Bawang Anjuran MARDI


 
KENINGAU: Seramai 350 peserta di daerah ini telah menyertai Kursus Teknologi Penanaman Bawang yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini pada Ahad.
 
Kursus ini meliputi pelbagai topik penting seperti pengadaptasian varieti mengikut agroklimat negara, penanaman secara skala besar dan pengurusan perosak dan penyakit, cara pengendalian hasil lepas tuai, serta kajian risikan pasaran domestik dan antarabangsa.
 
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata kursus ini dirancang sebagai platform pendedahan awal kepada penduduk tempatan mengenai potensi ekonomi dalam penanaman bawang merah.
 
“Program ini merupakan cetusan idea Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup yang melihat kursus ini mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar, khususnya di Sabah dan kawasan-kawasan berpotensi tinggi yang lain.
 
“Melalui program ini, para peserta diberi pendedahan aktiviti amali penanaman bawang merah bagi membolehkan para peserta untuk memahami teknik penanaman secara praktikal.
 
“Usaha-usaha yang sedang dijalankan ini merupakan bukti nyata komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan makanan negara,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika merasmikan kursus tersebut yang diadakan di Dewan Masyarakat Sook, Pekan Sook, di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Willy Leong.
 
Menariknya, kursus ini turut menampilkan sesi perkongsian pengalaman oleh Shahrizal Denci, yang telah memulakan usaha penanaman bawang varieti MARDI BAW-2, tahun lalu di kawasan seluas empat hektar di Kundasang.
 
Zabawi menambah, MARDI kini sedang giat untuk mempercepatkan proses pengkomersialan dan pengedaran benih bawang dengan memperbanyak bahan tanaman bagi tujuan agihan kepada agensi-agensi pengembangan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dan petani-petani yang terlibat dalam penanaman bawang merah.
 
“Sehubungan itu, seramai 15 usahawan benih bawang merah MARDI telah dilantik di seluruh negara bagi menjayakan pengeluaran awal benih – termasuk dua orang usahawan dari negeri Sabah.
 
“Selain Shahrizal, dua lagi petani di Sabah sedang dibangunkan di bawah projek perintis MARDI ini. Setiap petani dijangka mampu menghasilkan antara 1 hingga 2 metrik tan setiap musim, dan jumlah ini akan meningkat apabila teknologi dan amalan terbaik diterapkan secara meluas.
 
“Kita juga berharap kursus pada hari ini akan dapat melahirkan lebih ramai usahawawan bawang khususnya di negeri Sabah ini,” tambahnya.
 
Sementara itu, peserta kursus Paula Kium, 51 tahun dari Kampung Bunang Ulu, Sook berkata beliau berminat untuk mengusahakan tanaman bawang setelah melihat kejayaan penanamannya di Kundasang.
 
Beliau yakin akan berjaya setelah mendapat tunjuk ajar mengenai teknik penanaman dan penjagaan dari pegawai-pegawai MARDI sepanjang kursus ini berlangsung.
 
“Teknik-teknik yang diajar tidaklah sukar, cuma perlukan usaha yang lebih serta saya berharap pihak MARDI dapat membekalkan benih yang sesuai bagi saya memulakan penanaman tidak lama lagi, sekaligus dapat menuai hasilnya secepat yang mungkin,” katanya.
 
Bagi Damil Ungabu, berusia 40 tahun dari Kg Sakikilo, Sook, kursus yang diadakan ini telah membuka matanya mengenai potensi tanaman bawang untuk dijadikan sumber pendapatan yang lumayan
 
Beliau yang juga bekerja sebagai Penolong Jurutera di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Keningau berkata, cara-cara penanaman dan penjagaan yang tidak rumit serta tempoh matang yang singkat membolehkan sesiapa sahaja boleh mengusahakan tanaman bawang termasuk dirinya yang telah mempunyai pekerjaan tetap sebagai pegawai kerajaan.
 
“Selepas kursus ini, saya bercadang untuk mengusahakan tanaman ini di tanah seluas 5 ekar milik keluarga di Sook ini bagi dijadikan mata pencarian kekal pada masa hadapan,” ujarnya.
 
Pada masa sama, Sakim Ibrahim, 60 tahun yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Sook, berharap kursus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat khususnya di daerah Sook ini.
 
Beliau berkata, peluang yang diberikan ini yang hanya datang sekali dalam seumur hidup kerana ia mampu untuk membantu menaik taraf sosio-ekonomi penduduk yang rata-ratanya bekerja sebagai petani.
 
“Sekiranya mereka mengikuti segala yang telah diajar pada kursus ini dengan betul, tidak mustahil kawasan Sook akan menjadi hab dan contoh amalan terbaik penanaman bawang di negeri Sabah ini,” tambanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles