KOTA KINABALU: Ahli Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas diseru untuk meletakkan semangat setia kawan sebagai asas perjuangan politik, terutamanya dalam keadaan negeri Sabah yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tidak lama lagi.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas, Halizah Din berkata perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah perjuangan yang membawa aspirasi rakyat Sabah dan semua ahli parti wajar untuk menyokong usaha pucuk pimpinan parti dalam menyampaikan misi dan visi parti kepada akar umbi.
“Andai kata berlaku sesuatu di luar perancangan dan perjalanan politik kita, sama-sama kita hadapinya, anggap ini satu cabaran, teruskan semangat setia kawan, cari rakan strategik yang benar-benar ikhlas berjuang bersama kita, bukan demi jawatan, bukan demi nama, tetapi demi rakyat Sabah.
“Wanita Gagasan Rakyat Likas juga mengusul bahawa bahawa bilangan kerusi GRS-lah nanti yang akan menjadi penentu. Sama ada kita bentuk kerajaan sendiri, atau menjadi kuasa penentu dalam rundingan, rakyat akan tentukan.
“Saya juga berharap agar GRS memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada wanita untuk menjadi calon PRN ke-17 yang bakal tiba kelak kerana sudah tiba masanya untuk suara wanita diberi tempat, untuk membuat perubahan yang lebih signifikan, terutama dalam usaha membentuk hala tuju Sabah.
“Sasaran 30 peratus bukan sekadar angka untuk penglibatan wanita dalam kalangan pembuat dasar direalisasikan, tetapi ia adalah pengiktirafan kepada keupayaan, dedikasi dan sumbangan wanita kepada kemajuan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Persidangan Tahunan Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas 2025 di sini, semalam.
Terdahulu turut berlangsung Persidangan Tahunan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Likas dan Persidangan Tahunan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Likas.