BELURAN: Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda menegaskan yang parti itu kekal dengan pendirian untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Katanya, walaupun ada yang mengaitkan KDM dengan parti-parti lain, namun ia hanyalah khabar angin dan tidak sedikit pun menjejaskan pendirian mereka untuk kekal bertanding solo.
“Kita ini, dikaitkan dengan parti-parti tertentu, tetapi minta maaf, sama ada di kawasan saya di Kota Marudu atau di mana-mana kawasan yang kita telah jelajah, kita telah nyatakan secara terbuka dan sebelum ini presiden kita (Datuk Peter Anthony) pun telah nyatakan.
“Kita (KDM) akan bergerak solo dan selepas itu kita akan tentukan kerajaan negeri macam mana yang kita akan bentuk,” katanya ketika berucap pada program pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) KDM Bahagian Beluran, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Naib-naib Presiden KDM, Henry Saimpon dan Dr Gaim Lunkapis, Setiausaha Agung KDM, Willie Jude, Ketua Penerangan KDM, Mohd Ari-Nadzrah Abd Rahman dan Ketua Wanita KDM, Kahilin Helena Tulas.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Marudu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau akui, KDM kini semakin menghadapi cabaran dan dugaan menjelang PRN17 ini.
Bagaimanapun, katanya, cabaran-cabaran itu hadir kerana KDM kini semakin kuat dan pengaruhnya semakin luas di negeri ini.
“Parti yang kuat, parti yang rakyat akan sanjung, itulah yang mendapat cabaran besar. Kita kena tahu, apabila kita berada dalam satu parti yang disanjung oleh rakyat, cabarannya bukan sedikit.
“Sebab itu kita perlu berkorban, kita lihat pengorbanan presiden kita, dia sampai dimasukkan ‘ke dalam’, oleh sebab dia adalah presiden KDM, tapi saya yakin, ia tidak melemahkan kita malah semakin membakar semangat kita untuk berjuang,” katanya.