KIULU: Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Malangang Baru di sini baru-baru ini berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian menarik yang menyemarakkan semangat penghargaan terhadap warga pendidik.
Program tahunan yang bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan guru itu dimulakan dengan ucapan “Selamat Hari Guru” daripada para murid, disusuli penyampaian kad ucapan dan hadiah sebagai tanda kasih dan penghormatan kepada guru-guru.
Antara pengisian program ialah pertandingan memasak antara kumpulan staf yang menceriakan suasana serta majlis memotong kek ulang tahun bagi murid yang lahir pada bulan Januari hingga Jun.
Menariknya, acara tukar hadiah antara staf menjadi kemuncak sambutan apabila aktiviti tersebut mencetuskan suasana riang dan penuh kejutan, sekali gus memberi kelainan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sambutan itu telah diselaraskan oleh Cikgu Aliciana T. Bangkuai dengan kerjasama penuh daripada seluruh warga sekolah.
Program itu bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama warga sekolah, malah menyuntik semangat baharu dalam menghargai profesion keguruan.
