Sabah for Sabahan bukan sentimen kebencian, tapi kecintaan kepada negeri – Zaki

TAWAU: Pandangan pihak tertentu yang menyifatkan sentimen “Sabah for Sabahan” berpotensi memecahbelahkan rakyat telah mengundang reaksi balas dari masyarakat tempatan Sabah.

Dalam satu kenyataan medianya hari ini, penganalisis politik, Mohd Zaki Harry Susanto yang juga anak jati Sabah menyuarakan rasa kecewa dan tidak bersetuju dengan pandangan negatif tersebut yang menurutnya menafsirkan secara sempit suara rakyat negeri Sabah.

“Sabah for Sabahan’ bukanlah slogan pemisah atau gerakan kebencian seperti yang digambarkan. Ia adalah suara rakyat Sabah yang mahukan keadilan, autonomi sebenar seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peluang untuk menentukan masa depan negeri sendiri tanpa campur tangan berlebihan dari luar,” katanya.

Menurut beliau, sentimen itu lahir daripada kecintaan mendalam terhadap tanah air dan bukannya kebencian terhadap pihak lain.

“Kita tidak menolak perpaduan nasional. Tetapi perpaduan itu mesti dibina atas asas keadilan dan penghormatan terhadap hak negeri-negeri dalam Persekutuan. Kalau rakyat Semenanjung boleh bersuara mengenai hak mereka, mengapa suara anak Sabah terus dilabel sebagai memecahbelah bila menyentuh kepentingan negeri sendiri?” soalnya.

Tambah beliau, rakyat Sabah telah lama berdepan isu pembangunan yang tidak seimbang, agihan hasil negeri yang tidak adil, serta janji-janji kerajaan Persekutuan yang sering tidak ditunaikan.

“Kenapa bila rakyat Sabah bersuara, ia dianggap ancaman? Kita bukan mahu berpisah dengan Malaysia. Kita hanya mahu dihormati dan dilayan dengan adil,” tegas Zaki lagi.

Beliau turut menyeru segenap pimpinan tertinggi negara mendengar suara rakyat Sabah dengan hati terbuka dan tidak cepat membuat label negatif terhadap aspirasi rakyat negeri di bawah bayu.

Hashtag seperti #SabahForSabahan, #HormatiMA63 dan #SuaraAnakSabah terus tular di media sosial, menunjukkan solidariti rakyat Sabah yang mahu suara mereka diberi tempat sewajarnya dalam wacana nasional.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles