KOTA KINABALU: Ketua UMMO Sabah Datuk Seri Bung Mokhar Radin berkata Datuk Dr Jeffrey Kitingan sepatutnya memilih menubuhkan kerajaan negeri bersama parti tempatan Warisan selepas PRN 2018, sekiranya presiden STAR itu benar-benar berpegang kepada prinsip slogan “Sabah for Sabahans” yang dilaung-laungkan sekarang.
Sebaliknya, Bung berkata Jeffrey pada ketika itu memilih bersama parti Malaya Barisan Nasional (BN dan menolak parti tempatan Warisan.
“Saya mahu bagi tau Dr Jeffrey Kitingan kenapa dalam pilihan raya 2018, Warisan parti tempatan dapat 29 kerusi dan BN 29 kerusi, kamu tidak sokong Warisan parti tempatan dan kenapa pilih parti Malaya BN.
“Kalaulah fikir “Sabah for Sabahans”, Dr Jeffrey musim itu wajar pilih Warisan parti tempatan dan tolak parti Malaya Barisan Nasional.
“Dr Jeffrey ini “tembirang” betul….kalau mau berdebat dengan beliau di mana-mana saja boleh,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Bung mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang mempertahankan slogan `Sabah For Sabahan’ (Sabah untuk Orang Sabah) yang disifatkannya sebagai pendirian yang sah untuk maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah Sabah.
Jeffrey memberikan maklum balas terhadap gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut slogan Sabah Untuk Orang Sabah tidak seharusnya dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata sentimen itu tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan keterangkuman antara parti politik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Untuk rekod, Jeffrey pernah memohon jadi ahli UMNO dan diterima sebelum keahliannya dibatalkan.