KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyifatkan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan permohonan pertukaran guru yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun, sebagai langkah terbaik yang wajar disokong oleh semua pihak.
Presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata pembaharuan itu tepat pada masanya dan ia sejajar dengan perjuangan KGKS selama itu, terutama dalam membela nasib guru-guru dari Sabah yang berkhidmat di negeri lain atau daerah lain di Sabah.
Menurutnya KGKS mengalu-alukan berita baik itu kerana ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada golongan guru, terutama guru pasangan yang berpisah penempatan atau perbezaan tempat kerja dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Kelonggaran seumpama ini diharap dapat memastikan kesejahteraan mental dan semangat bekerja sentiasa pada tahap terbaik dalam kalangan guru, khususnya guru-guru yang sudah berkahwin dan terpisah lama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Murkam berkata demikian sebagai mengulas enam berita baik, termasuk kelonggaran pertukaran untuk guru yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Jumaat.
Ketika berucap sempena sambutan Hari Guru ke-54 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Fadhina turut mengumumkan keputusan KPM menyediakan seramai 1,470 personel MyPg iaitu pembantu guru dan memberi peluang kepada 32 guru penerima pelbagai anugerah bertugas di sekolah antarabangsa di United Kingdom,
Murkam berkata KGKS komited untuk membela nasib warga pendidik di Sabah dan sentiasa terbuka untuk mendengar keluhan mereka demi kebaikan bersama.