Tiada masalah dengan slogan “Sabah for Sabahan” – Ewon

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan tiada masalah dengan slogan “Sabah for Sabahan” terus digunakan oleh rakyat Sabah.

“Saya tidak melihat sebarang masalah dengan slogan Sabah for Sabahan, Sabah First, Sabah Rumah Kita atau apa-apa tema lain yang digunakan oleh rakyat Sabah.

“Bagi saya, ianya satu bentuk semangat patriotik. Selagi ianya bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan rakyat Sabah serta memupuk kerjasama dan perpaduan besar rakyat Malaysia, maka gunalah tema ini atau apa-apa tema lain yang bersesuaian,” katanya.

Ewon menyatakan demikian selepas diminta mengulas mengenai isu slogan Sabah for Sabahan selepas merasmikan majlis pengambilalihan Klinik Sahabat oleh Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) daripada Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP SAHABAT).

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menyatakan tiada ada halangan untuk parti-parti Sabah memilih acuan tersendiri termasuk membina persahabatan dan kerjasama dengan parti-parti lain termasuk melalui gabungan nasional.

“Sebagai Presiden parti dari Sabah, saya sangat memahami sentimen dan aspirasi rakyat Sabah. Sebab itu juga saya menegaskan aspirasi tempatan harus menjadi asas kepada perundingan gabungan besar politik di Sabah.

“Saya juga tidak melihat sebarang isu berkenaan dengan pilihan acuan politik parti-parti Sabah termasuk membina kerjasama dengan parti-parti lain di peringkat nasional atau dengan parti-parti luar negara yang menjunjung amalan demokrasi.

“Saya lebih cenderung untuk melihat keberkesanan kerjasama parti-parti politik kita dalam mencari penyelesaian kepada masalah rakyat. Semangat dan laungan slogan kita mesti berupaya untuk mengisi penyelesaian masalah asas rakyat kita seperti jalan raya, liputan internet dan sebagainya.

“Sekuat manapun slogan itu, kalau masalah asas rakyat masih belum dapat diselesaikan selepas berpuluh tahun, maka ianya kekal slogan. Sebab itu bagi kawasan yang saya wakili, saya ingin membina kekuatan tambahan dengan bekerjasama parti-parti lain termasuk gerakan koperasi bagi menyelesaikan masalah rakyat kerana saya tahu peruntukan Wakil Rakyat juga terhad,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles