Reaksi Jeffrey membidas Zahid bakar semangat “Sabah For Sabahans”

Oleh Datuk Raymond Boin

KOTA KINABALU: Berita terhangat kini ialah reaksi hangat dari ramai pemimpin politik di Sabah berikutan stetmen oleh Timbalan Perdan Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di mana dia menyebut slogan perjuangan politik “Sabah untuk orang Sabah” atau “Sabah for Sabahan” sebagai slogan pemecah belah yang tidak wajar diketengahkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Menurut beliau, slogan berkenaan tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan inklusiviti dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, dan ia bertentangan dengan gesaan Perdana Menteri yang mahukan keterangkuman semua parti politik agar setiap negeri dapat berganding bahu dengan kerajaan Pusat dalam merealisasikan agenda pembangunan negara.

Antara yang lantang menolak pandangan Zahid ialah Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan yang menggeluarkan stetmen keras bahawa: “Apa yang memecah belahkan ialah sikap angkuh Persekutuan, bukan slogan ‘Sabah untuk Sabahan’.

“Kenyataan sedemikian mengabaikan sejarah, memutar-belitkan fakta dan menolak kehendak politik yang sah di kalangan rakyat Sabah. Kami tidak perlu meminta kebenaran untuk bersuara bagi pihak kami sendiri, dan kami tidak perlukan pengesahan daripada mana-mana pemimpin Persekutuan untuk menegaskan apa yang sememangnya menjadi hak kami.

“‘Sabah untuk Sabahan’ bukanlah satu tindakan menentang. Ia adalah pendirian yang wajar bagi mempertahan maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah. Sabah seharusnya tidak boleh dianggap sebagai negeri bawahan. Kami sama-sama membentuk persekutuan Malaysia sebagai rakan kongsi yang sama rata, bersama Sarawak dan Malaya [dan Singapura], berdasarkan terma yang jelas yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Izinkan saya bercakap terus terang: Selama beberapa dekad, Sabah telah dilayan sebagai jajahan, sumber hasil bumi sementara suara kami dipendam. Kerajaan Persekutuan telah secara sistematik meruntuhkan semangat MA63, menghakis kedudukan perlembagaan kami dan mengaut kekayaan daripada tanah kami sambil mengabaikan keperluan pembangunan kami.

“Berikut adalah fakta. Sejak 1976,
• Minyak dan gas kami diletakkan di bawah kawalan PETRONAS tanpa sebarang persetujuan daripada rakyat Sabah.
• Status kami sebagai Negara dan rakan kongsi yang sama rata telah dipadamkan daripada kedua-dua perlembagaan Persekutuan dan negeri.
• Projek IC telah membawa masuk pendatang tanpa izin, mengubah secara kekal demografi kami dan mengubah masa depan politik kami.
• Perlembagaan Sabah telah diubah untuk menampung kemasukan parti-parti Malaya, yang bersilih ganti jawatan Ketua Menteri seperti token sehingga giliran UMNO tiba.
• Hutan dan tanah kami telah diagihkan kepada entiti yang jauh dari Sabah, memperkayakan orang lain atas kos kami.
• Dasar-dasar hasil Persekutuan terus menafikan Sabah daripada bahagian (syer) yang sepatutnya, sementara infrastruktur kami masih ketinggalan beberapa dekad.
• Janji Pemborneonisasian kekal sebagai janji yang kosong kerana rakyat Malaysia Barat masih menguasai jawatan-jawatan Persekutuan di Sabah sehingga ke hari ini.

“Dan kini, selepas semua ini, kami diberitahu untuk tidak menyatakan aspirasi kami sendiri? Untuk duduk diam sementara parti-parti Malaya berunding sesama sendiri tentang siapa yang akan memerintah Sabah? Kami tidak akan meminta maaf kerana mahu mengawal masa depan kami sendiri. Sabah berhak untuk menentukan hala tuju sendiri. Jika Malaysia itu mahu menjadi negara yang benar-benar bermakna, ia mesti dibina berdasarkan perkongsian yang tulen, bukan penjajahan.

“Izinkan saya jelaskan: ‘Sabah untuk Sabahan’ akan terus kekal. Ia bukan slogan politik sementara. Ia adalah pemulihan kebenaran yang telah lama ditunggu-tunggu. Jika ada sesuatu yang memecah belahkan, ia adalah sikap angkuh Persekutuan yang berterusan yang enggan mengiktiraf tempat yang sepatutnya dipegang oleh Sabah.

“Kerjasama kami dengan Putrajaya mesti berasaskan hormat dan persamaan, bukan kepatuhan. Kami akan bekerjasama apabila ia memberi manfaat kepada Sabah, tetapi kami tidak akan lagi bertolak ansur dengan campur tangan, manipulasi dan eksploitasi. Sabah bukan jajahan Malaya. Kami tidak pernah dan kami tidak akan pernah menjadi jajahan.

Dr. Jeffrey mengakhiri hujah dengan menegaskian: “Sama ada kita bergerak maju sebagai rakan kongsi yang dipulihkan dalam persekutuan, atau mencorakkan hala tuju yang sama sekali baru, bergantung kepada bagaimana Sabah dilayan pada hari-hari mendatang. Keputusan itu akan dibuat bukan di Putrajaya tetapi di sini, oleh rakyat Sabah sendiri.”

Swngan cepat, bekas Menteri Undang-Undang, Dato’ Zaid Ibrahim memberi reaksi agresif dengan berkata Dr. Jeffrey adalah “pemipin Sabah yang tipikal, yang mengambil sebarang peluang untuk menjatuhkan pemimpin Persekutuan kerana kegagalan mereka sendiri.”

Sementara itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar, turut mempertahankan pemimpin utama partinya dengan menyifatkan kenyataan Dr. Jeffrey sebagai tidak berasas dan “berbahaya jika dibiarkan tanpa jawapan”, “perjuangan untuk hak Sabah tidak seharusnya direndahkan kepada sandiwara politik” dan mendakwa bahawa “suara Sabah dalam kerajaan Persekutuan kini mendapat lebih pengiktirafan melalui rundingan dan diplomasi”.
Apa pun reaksi pro-Persekutuan yang telah dan akan lafazkan, kenyataannya, Dr. Jeffrey telah menghangatkan semula perasaan rasa tidak puas hati, atau rungutan mendalam, di kalangan rakyat Sabah. Tidak dapat dinafikan stetmen beliau kini menjadi satu daripada penunjuk arah ideologi kuat yang akan mencorak kempen PRN17 nanti. Para pemerhati dari peringkat kampung hingga ke peringkat inteklektual dan kepimpinan atasan kini sedang penuh ghairah berbual, berpanggilan dan bermesejan membincangkan isu “Sabah untuk Sabahan” dan “Sabah mesti diperintah parti-parti tempatan”.

Ini menjadi satu cabaran berat bagi kepimpinan Persekutuan, bagi BN dan PH, untuk membendungnya. Mereka harus sedar bahawa sentimen ini semakin membara di kalangan para pengundi Sabah yang emosi politik mereka kini mendekati tahap semangat 1985.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles