KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) menjadi koperasi pertama di Sabah terlibat dalam perkhidmatan klinik kesihatan di negeri ini.
Perkhidmatan klinik merupakan perusahaan terbaru KOPEKS selepas mengambil-alih klinik Sahabat yang sebelum ini dimiliki oleh Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP SAHABAT) dan menjenamakan semula sebagai “KCare Klinik”.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang merasmikan majlis perasmian pengambilalihan klinik tersebut menyifatkan inisiatif KOPEKS itu mampu memberi nilai tambah kepada aktiviti perniagaan koperasi dan perkhidmatan kepada masyarakat.
“KOPEKS kini menjalankan perniagaan koperasi iaitu kemudahan pinjaman dan kredit, Ar-Rahnu, sewaan, menjadi ejen KOPETRO bagi jualan minyak pelincir, menjalankan pakej umrah, pembangunan hartanah dan perkhidmatan klinik kesihatan.
“Saya percaya, pelaksanaan aktiviti ini bukan sahaja dapat menambah pendapatan koperasi tetapi memberikan nilai tambah perkhidmatan koperasi kepada ahli-ahlinya dan juga masyarakat setempat.
“Saya difahamkan KOPEKS juga merancang memperluaskan perkhidmatan klinik kesihatan ini kepada empat cawangan dan merancang menawarkan perkhidmatan dialisis,” katanya.
Menurut beliau, sehingga hari ini, terdapat 12 koperai di seluruh negara terlibat dalam perkhidmatan hospital dan farmasi, 4 koperasi terlibat dalam perkhidmatan dialisis dan 19 koperasi terlibat perkhidmatan penjagaan diri dan kesihatan.
“Kita mempunyai 16,284 buah koperasi di seluruh negara tetapi kurang daripada 50 koperasi sahaja yang terlibat dalam perkhidmatan klinik kesihatan, farmasi, dialisis dan penjagaan diri.
“Di Sabah, terdapat 1,994 buah koperasi tetapi KOPEKS merupakan koperasi pertama dan satu-satunya koperasi yang terlibat dalam perkhidmatan klinik kesihatan di Sabah ketika ini,” katanya.
Ewon menyatakan demikian semasa berucap merasmikan pengambilalihan Klinik Sahabat oleh KOPEKS daripada KOOP SAHABAT yang dijenamakan menjadi KCare Klinik di sini, hari ini.
Ewon turut meluluskan permohonan koperasi bagi mendapatkan sebuah van ambulan untuk kegunaan KCare Klinik dan rawatan dialisis.
Bersempena majlis tersebut, Ewon turut melancarkan produk wafer emas KOPEKS sempena ulangtahun penubuhannya yang ke-63.