TAMBUNAN: Selepas hampir tiga dekad, Program Hari Keluarga Gombiau akhirnya berjaya dilangsungkan semula dengan penuh kemeriahan pada 2 Mei 2025 bertempat di Dewan Datuk John Gaisah, Kampung Sunsuron, Tambunan.
Kali terakhir program ini diadakan adalah pada tahun 1997.
Acara bersejarah ini menghimpunkan enam keluarga besar iaitu Kombuyug, Liama, Latima, Latama, Kolingu dan Amin. Ia menjadi medan pertemuan semula sanak saudara serta peluang mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam suasana yang penuh mesra dan harmoni.
Pengerusi Hari Keluarga Gombiau, Encik Daniel Dilliam dalam ucapannya menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan setiap tahun demi menyuburkan semangat kekeluargaan dalam kalangan generasi baharu dan lama.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa tokoh keluarga terkenal seperti Justin Lusah, penyanyi lagu popular “Jambatan Tamparuli”, Julius Lusah, Rosario Bianis, David Totorial dan Kumbibi, yang menceriakan suasana dengan kehadiran mereka.
Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah utama berupa sebuah motosikal yang merupakan sumbangan ikhlas daripada Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N.39 Tambunan, Dato’ Dr Victor P. Paut. Hadiah tersebut dimenangi oleh Lazurus Lusah, yang menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan tersebut.
Daniel turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran program kali ini.
Program ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan keluarga, tetapi juga platform memperkukuh silaturahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.