TAWAU : Penantian hampir 40 tahun dijangka berakhir apabila lebih 1,000 penduduk di empat kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan Tawau, kini menarik nafas lega selepas tanah mereka kini diproses untuk permohonan pewartaan perkampungan.
Antara kampung tersebut iaitu Kampung Sri Menanti, Airport Lama, Sentosa Blok 4 serta Kampung Hiltop Tawau dengan membabitkan keluasan 88.54 ekar seperti diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor baru-baru ini.
Seorang Penduduk Kampung Sri Menanti, Rahmahwati Mahmud, 48, berkata, melahirkan perasaan gembira, bersyukur serta senang hati selepas menerima khabar gembira berikutan begitu lama tinggal di kawasan ini sejak lebih 40 tahun lalu.
Katanya, pelbagai pengalaman dilalui termasuk sudah beberapa kali menerima notis untuk diarah berpindah berikutan kawasan tanah perkampungan mereka ini akan dimajukan projek ‘Smart City.’
“Lebih-lebih lagi kawasan kampung ini terletak berhampiran bandar serta Lapangan Terbang Lama Tawau sudah tentu kerajaan akan mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk memajukannya.
“Berkesempatan melihat detik sejarah kejadian nahas dahsyat pesawat MAS Fokker 50 terhempas pada 15 September 1995 berikutan Kampung Sri Menanti berhampiran hujung landasan ini,” katanya Secara Eksekutif kepada Sabah News Today.
Sementara itu seorang penduduk Rosniati Abdul Majid, 60, berkata selepas ini kawasan perkampungan mereka kelihatan akan lebih tersusun sekali gus memastikan masa depan penduduk Kampung Sri Menanti lebih terjamin.
Manakala bagi penduduk Kampung Airport Lama Tawau, Amirudin Abdul Samat, 71, beranggapan isu ini boleh diselesaikan sejak dahulu jika wujud kerjasama serta persefahaman baik dalam penduduk kampung bersama pihak kerajaan.
“Ketika itu ada yang mahu diwartakan manakala sebahagian mereka yang lain menolak serta enggan memberikan kerjasama kepada pihak jawatankuasa bertindak.
“Inilah menyebabkan faktor utama mengapa sejak 40 hingga 50 tahun proses untuk permohonan pewartaan perkampungan tergendala sehingga kini,” katanya merupakan bekas pesara kerajaan.
Bagi Muhamad Kadir, 56, merupakan penduduk Kampung sentosa Blok 4 Tawau berkata, ramai kalangan pesara seta kakitangan kerajaan tinggal di kawasan perkampungan setinggan membabitkan empat kampung ini.
“Mereka berharap pengumuman kelulusan pewartaan perkampungan ini bukan gimik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi merupakan hadiah yang sangat ditunggu-tunggu oleh mereka semua,” jelasnya.
Bagi Kamisah Dera, 78, Penduduk Kampung Sentosa Blok 4, berkata melahirkan perasaan syukur sejak 1970 tinggal di kampung berkenaan.
“Kebanyakan penduduk kampung ini terlibat dalam mengusahakan kebun sayur sekali gus bersyukur kerana kerajaan prihatin memguruskan tanah perkampungan mereka.
“Banyak usaha telah dilakukan sebelum ini..Terima kasih kepada Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan), Tan Sri Liew Yun Fah begitu banyak berkorban untuk memastikan tanah ini dapat diwartakan,” katanya.
Sementara itu, Erica Hamsah, 42, beliau mengesahkan pihaknya bersama penduduk kampung sedang melengkapkan borang permohonan untuk diserahkan ke Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Tawau dalam tempoh terdekat.
“Perasaan penduduk kampung sangat gembira serta yakin proses pewartaan kawasan perkampungan dinantikan sejak berpuluh-puluh tahun lalu akan menjadi kenyataan. Terima kasih Tan Sri Liew Yun Fah,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk Kampung Hilltop Tawau, Hamsah Abdullah, 63, berkata beliau mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menguruskan perjalanan urusan ini.
“Sudah menunggu agak lama sejak 1975 diharapkan apa yang diusahakan dari dulu dapat diteruskan untuk majukan kampung.
“Selepas ini tiada lagi kerisuan penduduk kampung berikutan selalu menerima notis diarahkan berpindah kerana mendiami kawasan setinggan,” tambahnya.