SIPITANG: Wanita diiktiraf sebagai pentadbir utama dalam institusi keluarga, dengan peranan penting bukan sahaja dalam mengurus rumah tangga tetapi juga menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, di Sipitang, majoriti peniaga terutama di tamu mingguan adalah wanita.
Katanya, ini membuktikan bahawa mereka bukan sahaja berperanan dalam keluarga, malah turut menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi setempat.
“Sebagai wakil rakyat, saya memberi jaminan untuk terus bekerjasama dan menyokong sebarang program atau inisiatif yang dirancang demi kemajuan wanita dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya pada Program Outreach Santuni Wanita di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Sipitang, hari ini.
Program dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rayat Datuk Flovia Ng.
Ia dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Sipitang dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat N35 Sindumin.
Dalam pada itu, Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, era digital dan kemajuan teknologi maklumat hari ini menuntut keupayaan masyarakat, khususnya wanita, untuk menilai serta menganalisis setiap informasi yang diterima.
“Zaman sekarang adalah zaman ilmu dan maklumat. Kita sentiasa terdedah kepada pelbagai informasi, khususnya melalui media sosial. Justeru, amat penting untuk kita bersikap kritikal dan tidak menerima secara membuta tuli sebarang maklumat yang disebarkan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kewaspadaan dalam kalangan wanita terhadap ancaman aktiviti tidak sihat seperti perjudian dalam talian yang dilihat semakin menular dan memberi kesan buruk kepada institusi keluarga.
“Wanita memainkan peranan penting sebagai pelindung nilai keluarga. Banyak kes keluarga hancur berpunca daripada perjudian atas talian. Oleh itu, wanita perlu sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam melindungi kesejahteraan keluarga,” ujarnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada penganjur atas usaha menganjurkan program yang memberikan manfaat secara langsung kepada kaum wanita.