PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan berjumlah RM149,000 kepada tiga gereja di Penampang hari ini.
Gereja St Michael Penampang menerima sumbangan RM50,000 bagi menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Diosis Kota Kinabalu yang akan diadakan pada 1 Mei ini.
Gereja St Aloysius Limbanak juga menerima RM50,000 untuk membaiki bangunan gereja dan gereja St Theresa of Child Jesus Kolopis juga menerima RM49,000 untuk membeli kerusi panjang dan kelengkapan muzik.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyatakan komitmen beliau untuk terus menjadi sebahagian daripada pembangunan gereja-gereja di Penampang sepertimana dimulakan sebaik sahaja beliau dipilih menjadi Wakil Rakyat.
“Dalam pertemuan dengan pimpinan gereja-gereja ini, saya berkongsi mengenai inisiatif-inisiatif saya selaku Ahli Parlimen Penampang untuk membantu rumah-rumah ibadat bukan Islam dalam tempoh dua tahun lebih ini serta komitmen saya untuk terus menjadi sebahagian daripada pembangunan gereja-gereja di sini.
“Semoga amalan beragama di negara kita terus subur dengan semangat bertoleransi dan hormat-menghormati antara kaum dan agama,” katanya.
Ewon menyatakan demikian selepas menyampaikan sumbangan-sumbangan tersebut di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang di sini, hari ini.
Sementara itu, para pemimpin gereja menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Ewon atas keprihatinan serta bantuan yang diberikan kepada gereja-gereja di kawasan Penampang.
Pengerusi Kewangan dan Harta Benda Gereja St. Aloysius Penampang, Eligius Samuel, berkata sumbangan sebanyak RM50,000 itu akan digunakan untuk membaik pulih bangunan gereja berkenaan.
“Kami amat berterima kasih kepada Datuk Ewon kerana terus memberikan perhatian terhadap keperluan gereja di kawasan Penampang, khususnya di Gereja St. Aloysius.
“Selain sumbangan yang disampaikan pada hari ini, kami juga menerima bantuan yang sama pada tahun lalu untuk pembangunan kawasan gereja bagi meningkatkan keselesaan para jemaat.
“Saya yakin lebih banyak berkat akan diterima pada masa akan datang untuk keperluan gereja,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kewangan dan Harta Benda Paroki St. Michael Penampang, Kat. Ernest Mojikon, turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan sebanyak RM50,000 yang diberikan oleh Datuk Ewon.
“Bagi pihak seluruh kepimpinan gereja, saya amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan beliau memberikan sumbangan untuk menjayakan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Diosis yang akan diadakan pada 1 Mei ini di Paroki St. Michael Penampang.
“Sumbangan ini amat bermakna bagi kami, untuk meringankan beban kewangan menampung kos pelaksanaan perayaan Kaamatan yang melibatkan penyertaan daripada semua paroki di bawah Diosis Kota Kinabalu,” katanya.
Wakil Gereja St.Theresa Kolopis, Richard Jomiji berkata, sumbangan sebanyak RM38,000 itu adalah untuk membiayai kos-kos pembelian kelengkapan di gereja itu, manakala RM11,000 lagi untuk membiayai kelengkapan muzik.
“Semoga Tuhan memberikati segala kebaikan dan keikhlasan YB Datuk agar terus dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.