Rakyat diajak terima perbezaan demi kestabilan dan perpaduan – Salleh

KOTA KINABALU: Kestabilan terbina apabila rakyat negara ini bijak mengurus perbezaan dengan tenang dan saling menghormati, kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata terdapat sesetengah pihak yang berfikiran bahawa negara hanya stabil jika semua orang menyokong satu parti atau satu pandangan.

“Sebenarnya kestabilan bukan bermaksud tiada konflik, tetapi wujudnya sistem yang adil untuk menyelesaikan perbezaan secara aman.

“Perpaduan pula tidak bermaksud semua orang perlu berfikir sama. Ia tentang berkongsi matlamat bersama — seperti keadilan, keamanan dan kemajuan — walaupun jalan ke arah itu mungkin berbeza,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata negara berjaya walaupun rakyatnya berbeza agama, kaum atau pandangan politik.

“Mereka bekerjasama kerana menumpukan pada apa yang menyatukan, bukan apa yang memecahbelahkan,” katanya.

Menurutnya negara yang mengekang kebebasan mungkin kelihatan “tenang”, tetapi kestabilan sebegini biasanya rapuh.

“Bila suara rakyat disekat, tekanan boleh meletup bila-bila masa.

“Sebaliknya, negara yang membenarkan perbezaan dan memiliki institusi yang kukuh lebih tahan lama. Kestabilannya datang daripada kepercayaan, bukan ketakutan,” kata beliau.

Salleh turut menggariskan asas
kestabilan, dan ini termasuk kebebasan bersuara, undang-undang yang adil, dan sikap bertanggungjawab semua pihak.

“Apabila sistem diyakini rakyat, negara akan berdiri teguh,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan terbina apabila rakyat jelatah, termasuk pemimpin bersedia mendengar, menghormati pandangan berbeza, dan mencari titik persamaan demi kebaikan bersama.

“Seperti kata peribahasa, “Buluh seikat lebih kuat daripada sebatang.” Walaupun kita datang daripada latar belakang yang berbeza, apabila bersatu dan saling menyokong, kita menjadi lebih kuat dan sukar digoyahkan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles