KOTA KINABALU: Ketiadaan sijil layak menduduki (Occupational Certificate, OC) bagi bangunan kerajaan di Sabah dikenal pasti sebagai punca utama peruntukan persekutuan tidak dapat digunakan untuk tujuan naik taraf dan pembangunan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Suhaimi Nasir (BN) membangkitkan perkara itu semasa sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri Sabah pada Rabu (16 April), dengan memberi contoh beberapa kemudahan awam di Sandakan yang gagal dilaksanakan walaupun sudah mendapat peruntukan.
“Di Sandakan, peruntukan untuk pasar dan masjid pun terpaksa dipulangkan. Peruntukan RM2.7 juta untuk menaik taraf tamu Gum-Gum tidak dapat digunakan kerana isu pemilikan dan dokumentasi. Satu lagi peruntukan RM500,000 juga telah dibatalkan,” katanya.
“Bangunan-bangunan ini berada di bawah pihak majlis perbandaran, tetapi tiada dokumen lengkap termasuk OSI (Pemeriksaan Pendudukan dan Keselamatan). Duit ada, tapi tak dapat digunakan. Rugi,” katanya lagi.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS-Kundasang), mengakui isu berkenaan dan memaklumkan bahawa kementeriannya sedang berusaha mencari penyelesaian.
“Dulu, bangunan kerajaan tidak perlukan OC dan masih boleh digunakan. Tapi sekarang, setiap kali kita terima peruntukan persekutuan, OC jadi isu utama,” katanya.
“Kami sedang ambil langkah untuk selesaikan perkara ini dan cari cara agar bangunan-bangunan ini boleh disahkan,” tambahnya.
Suhaimi turut menyentuh beberapa kemudahan awam di Batu 7 dan Batu 8 yang telah berdiri lebih 10 tahun tanpa kelulusan sewajarnya, dan menegaskan bahawa Sabah tidak sepatutnya terus kehilangan sokongan persekutuan hanya kerana isu teknikal seperti ini.