KOTA KINABALU : Hujan berterusan selama beberapa hari telah menyebabkan banjir di beberapa kawasan pedalaman Sabah, termasuk Kampung Kuala Puntih dan Kampung Mempulut di Daerah Sook.
Setakat ini, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan SK Pekan Keningau I dan SK Pekan Keningau II, yang menempatkan seramai 232 penduduk yang terjejas.
Sebagai respons segera, Institut Kajian Pembangunan (Sabah) [IDS], dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kembara Kitchen dan CIMB Foundation, telah menggerakkan Pasukan Disaster Monitoring Hub (D-Hub) ke kawasan terjejas banjir pada 15 April 2025 untuk menyalurkan bantuan segera kepada penduduk yang terkesan.
Usaha ini merupakan kesinambungan komitmen IDS dalam menjalankan inisiatif bantuan kemanusiaan di seluruh Sabah.
Terdahulu, IDS telah menyalurkan bantuan banjir ke beberapa daerah termasuk Pitas dan Kota Marudu pada bulan Mac, serta ke Beaufort sebanyak dua kali pada bulan Februari dan Mac 2025.
Daerah Keningau mencatat sejarah sebagai lokasi pertama menerima bantuan D-Hub tahun ini, menerusi misi yang dilaksanakan pada 5 Februari.
Dalam misi terbaharu ini, sebanyak 40 kotak makanan sedia dimakan (Hero Meals) telah diagihkan kepada mangsa banjir, khususnya mereka yang ditempatkan di PPS dan kawasan terjejas lain.
IDS akan terus komited memantau perkembangan situasi banjir dan menyelaras bantuan bersama rakan strategik serta agensi berkaitan bagi memastikan keperluan mangsa sentiasa diberi keutamaan.
IDS merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama dan komuniti yang terus menyokong usaha membantu mereka yang terkesan akibat banjir.