KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sudah tiba masanya keberanian politik diperagakan di Sabah.
Beliau berkata ini kerana masa depan negeri Sabah bergantung kepada keberanian kita hari ini.
“Kita tidak tolak pembangunan. Kita tidak tentang pelaburan. Tapi yang kita tuntut ialah keberanian politik.
“Keberanian untuk berlaku adil, untuk telus, dan untuk meletakkan kepentingan rakyat Sabah di hadapan segala kepentingan lain,” katanya.
Adun Senallang itu berkata demikian semasa membahas Ucapan Dasar Yang Dipertua Negeri pada sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini pada Isnin.
Shafie menggesa kerajaan supaya tidak terus berselindung di sebalik angka, sebaliknya berani bertindak demi rakyat.
“Jangan hanya lihat angka atas kertas. Dengar suara rakyat di bawah. Suara petani, nelayan, guru, belia, wanita luar bandar. Merekalah yang menggerakkan jantung Sabah.
“Sabah tidak perlukan lebih banyak janji. Sabah perlukan tindakan. Dan tindakan itu hanya akan berlaku apabila ada keberanian untuk berkata yang benar, dan bertindak demi kebenaran,” katanya.
Shafie turut membangkitkan pelbagai isu yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat Sabah.
Ini termasuk masalah air, elektrik, jalan, pendidikan dan kesihatan, sekuriti makanan serta isu ekonomi.