Stacy ikon belia Penampang, Ewon sokong penuh penganjuran Konsert Solo Stacy 2025

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan sokongan penuh beliau kepada penganjuran Konsert Solo Stacy 2025 yang akan diadakan pada 21 Jun ini di Sabah International Convention Centre (SICC).

“Stacy merupakan ikon belia Penampang, mencapai kemuncak kejayaan dalam bidang kerjaya beliau sebagai penyanyi. Saya yakin kejayaan beliau akan menjadi inspirasi dan motivasi kepada belia-belia di Penampang, khasnya dan di Sabah, amnya.

“Saya menyokong sepenuhnya Konsert Solo Stacy 2025 di SICC dan mudah-mudahan saya dapat berkesempatan untuk hadir sama menyaksikan konsert beliau ini,” katanya.

Ewon menyatakan demikian selepas menerima kunjungan Stacy di pejabat beliau di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini, hari ini.

Stacy merupakan penyanyi terkenal negara yang berasal dari Kg Tuavon, Penampang dan menempah banyak kejayaan sepanjang kerjaya beliau termasuk Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular dan pelbagai lagi anugerah lain.

Sementara itu Stacy merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon atas sokongan kepada artis-artis Sabahan di Kuala Lumpur.

“Antara perbincangan kami tadi berkaitan konsert solo Stacy yang akan diadakan di Sabah pada Jun ini serta beberapa pelawaan sebagai artis jemputan pada Program Madani Rakyat (PMR) anjuran KUSKOP di Tawau dan di Kota Belud dalam masa terdekat.

“Mengenai konsert solo Stacy di Sabah, sebenarnya Datuk Ewon adalah orang pertama yang mencetuskan idea untuk saya mengadakan konsert solo secara besar-besaran di Sabah.

“Sebagai orang Sabah saya amat gembira dan teruja menjayakan konsert ini, kerana ini adalah konsert pertama saya secara solo.

“Terima kasih kepada Datuk Ewon kerana memberikan galakan dan sokongan. Mudah-mudahan dengan bantuan dan sokongan beliau, konsert ini akan berjalan lancar,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles