TAMPARULI: Naib presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Gundohing Dr Gaim James Lunkapis merayu kepada kerajaan supaya meluluskan peruntukan kecemasan bagi membina jambatan baharu yang putus, akibat banjir, merentasi sungai Montongis, kampung Bawang dekat sini pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua Penyelaras KDM Tamparuli berkata susulan terputusnya jambatan itu, ramai pelajar dan penduduk kampung yang berulang alik menggunakan jambatan berkenaan terjejas.
“Berdasarkan luahan dan rungutan penduduk di sini, ketiadaan jambatan ini amat menyusahkan, dan sebab itu, mereka mahu kerosakan jambatan Bawang ini diisytiharkan peringkat darurat supaya bantuan dan tindakan segera dapat dilaksanakan,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Menurutnya jambatan Bawang itu merupakan nadi kepada beberapa kampung termasuk laluan orang kampung, pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.
Dr Gaim berkata sekurang-kurangnya dua sekolah iaitu SK Lingga Baru dan SK Bawang terpaksa ditutup berikutan insiden jambatan terputus itu.
“Selain pelajar SMK Tamparuli yang menghadapi masalah besar, mereka yang bekerja dan warga emas yang ada temujanji di hospital juga sangat terkesan,” katanya.
Oleh itu, Dr Gaim berharap kerajaan yang prihatin masalah rakyat dapat memberi perhatian sewajarnya rayuan itu.