Kenyataan Media Khairuddin Daud, Naib Ketua Wira Pusat merangkap Ketua Wira Kudat
KOTA KINABALU: Selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan Kenyataan Media untuk menjelaskan isu yang sengaja ditularkan oleh laskar Siber GRS, pihak Kerajaan GRS menimbulkan lagi satu persepsi songsang mengenai Nota Bidai pada surat permohonan MyKas dan MyPR tersebut.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Jamain Sarudin mengatakan frasa ‘SUKACITA DAPAT DILULUSKAN’ sebagai bukan satu formaliti, tapi isyarat politik yang menunjukkan ideologi politik pentadbiran yang terbuka dan mesra terhadap pemberian dokumen kewarganegaraan.
Di sini Wira Warisan mencabar Jamain untuk menunjukkan bukti berapakah jumlah kewarganegaraan yang telah diberikan kepada Warga Asing selepas mendapat Nota Bidai Datuk Seri Shafie Apdal yang menggunakan frasa yang sama – SUKACITA DAPAT DILULUSKAN dan bukti JPN menggunakan Nota Bidai untuk memberi kewarganegaraan.
Ini penting bagi mengukuhkan dakwaan beliau kerana sebagai seorang Setiausaha Politik Kerajaan di bawah Ketua Negeri, beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang dikatakan. Tanpa bukti, ianya tidak lebih daripada andaian semata-mata untuk menimbulkan persepsi negatif.
Menjawab kepada kenyataan beliau tentang perubahan komposisi penduduk dan kehilangan kuasa politik tempatan boleh berlaku disebabkan oleh Nota Bidai sedemikian, kami Wira Warisan mengesa beliau untuk melihat apa yang sudah dilakukan oleh Kerajaan GRS sejak mengambil alih pentadbiran negeri dari Warisan berdasarkan kepada fakta berikut :
Pertama, hampir 100,000 Warga Asing yang ada dan tiada dokumen (PATI) telah didaftarkan sebagai Pekerja Asing dengan jumlah anggaran Kutipan Fi sebanyak RM70 juta, di bawah Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (SWIMS) sejak 2023.
Kedua. Timbalan Ketua Menteri, DSP Dr Jeffrey Kitingan telah, dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada 18 Mac 2025, mengatakan terdapat lebih 100,000 Warga Asing di Sabah yang didaftarkan melalui Program Pendigitalan, telah diputihkan oleh Jabatan Imigresen Sabah.
Sebagai bekas Ketua kumpulan Black Sunday yang membantah cadangan Pas Sementara Sabah (PSS), kenapa Jamain mendiamkan diri di atas aktiviti pemutihan ini? Menurut Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Nizam Abu Bakar Titingan pada Persidangan DUN tahun lepas, mereka yang didaftarkan dalam SMART Sabah boleh memohon Warganegara Malaysia.
Anak jati Sipitang itu patut suarakan bantahan beliau kerana apa yang sedang dilakukan oleh Kerajaan GRS ini, bertentangan dengan perjuangannya semasa menjadi pembangkang.
Selain itu, tindakan Kerajaan GRS ini bukan sahaja bakal mengubah komposisi penduduk Sabah bahkan penduduk tempatan juga berisiko kehilangan kuasa politik seperti yang Ketua Pemuda SAPP itu katakan.
JPN telah jelaskan bahawa sokongan melalui Nota Bidai tidak menjanjikan permohonan tersebut akan berjaya. Semua permohonan akan dinilai mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Maksudnya, walaupun dipersetujui atau disokong penuh untuk kelulusan, permohonan ini akan di tetap ditolak jika tidak memenuhi Peraturan yang sedia ada. Ketua Menteri bukanlah penentu kepada status kewarganegaraan seseorang.
Kenyataan JPN itu sebenarmya telah mematikan agenda tersembunyi pihak Kerajaan. Sebab itulah Jamain bertindak menimbulkan persepsi baharu agar isu ini terus berlegar sehingga pilihanraya negeri yang akan diadakan pada tahun ini.
Pemimpin GRS terutama sekali Hajiji sangat terdesak untuk menang pilihanraya Sabah untuk menyelamatkan diri mereka yang teruk terpalit dengan isu rasuah selain gagal menyelesaikan masalah air, jalan raya, elektrik, pengangguran dan kos sara hdup yang tinggi.
Namun, mereka percaya sentimen PTI ini akan sekali lagi memberi mereka kemenangan seperti yang berlaku pada PRN16 (2020) dan PRU15 (2022). Namun hakikatnya, Rakyat Sabah sedar, hampir 5 tahun jadi kerajaan di tambah lagi MP GRS Ranau pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, mereka masih gagal buktikan segala dakwaan mereka bahawa Shafie telah berikan kewarganegaraan kepada PTI.