SANDAKAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian antara kaum merupakan asas utama dalam menjamin kestabilan dan pembangunan negara yang berterusan.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, sebagai sebuah parti yang mempromosi perpaduan dan integrasi nasional, penganjuran Rumah Terbuka seperti Hari Raya, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Kaamatan akan terus dilaksanakan.
“Penganjuran majlis rumah terbuka sempena perayaan-perayaan keagamaan dan kebudayaan menjadi tradisi UPKO, dengan tujuan meraikan kepelbagaian budaya.
“UPKO sentiasa menjunjung tinggi semangat perpaduan serta keharmonian antara kaum dan agama. Sebab itu kita konsisten menganjurkan sambutan seperti Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan dan Hari Orang Asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran UPKO Bahagian Libaran di sini, hari ini.
Ewon turut memuji usaha UPKO Libaran yang diketuai oleh Dr Peter Naintin atas inisiatif menganjurkan sambutan kali ini memandangkan bahagian tersebut mempunyai keahlian besar dalam kalangan umat Islam.
“Walaupun beliau (Dr.Peter) beragama Kristian tetapi timbalannya beragama Islam dan Libaran adalah Bahagian parti yang mempunyai keahlian yang paling ramai menyambut Raya, sebab itu sambutan Rumah Terbuka Hari Raya dianjurkan di Libaran,” katanya.
Beliau turut menggesa seluruh ahli UPKO serta rakyat Sabah supaya menjadi duta perpaduan, contoh terbaik kepada semangat kebersamaan dan saling menghormati antara kaum serta agama.
“Kita mahu Sabah terus menjadi contoh kepada negara dalam hal perpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama,” tambah beliau.
Ewon juga berkongsi inisiatif-inisiatif Kerajaan MADANI khususnya yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensi di bawahnya yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat pelbagai lapisan masyarakat.