Pelantikan GGM SEDCO: Langkah Reformasi Demi Kemajuan Negeri

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian LIKAS, Tuan Haji Mohammad Bahrin Bin Haji Abd Karim menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Kerajaan Negeri melantik Datuk Ar. James Wong sebagai Pengurus Besar Kumpulan (GGM) SEDCO yang baharu, sambil menyifatkannya sebagai satu langkah reformasi yang wajar demi kemajuan institusi dan negeri.

Menurut beliau, sudah tiba masanya Sabah keluar daripada zon selesa demi memberi ruang kepada perubahan yang lebih inklusif serta berdaya saing.

“Pelantikan ini adalah simbol keterbukaan dan kematangan pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam mengiktiraf potensi semua anak Sabah tanpa mengira kaum atau latar belakang.

“Ini juga sejajar dengan semangat Malaysia Madani dan gagasan Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan kepelbagaian sebagai kekuatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) seperti SEDCO diperkasakan supaya mampu bersaing secara sihat dengan syarikat-syarikat swasta lain.

“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan. SEDCO perlu berdiri di atas kaki sendiri dan menjadi peneraju dalam sektor pembangunan ekonomi negeri”, tegasnya.

Mohammad Bahrin berkata, dengan sokongan kakitangan SEDCO yang berpengalaman luas, James akan dapat memimpin organisasi ini ke arah yang lebih progresif dan mampan, sekaligus memulihkan era kegemilangan SEDCO seperti suatu ketika dulu.

“James bukan bekerja bersendirian tetapi Beliau akan bekerjasama dengan semua lapisan warga kerja SEDCO tanpa mengira kaum dan agama demi kebaikan serta kemajuan Sabah secara menyeluruh,” katanya lagi.

Beliau yakin, pelantikan ini akan membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh ekonomi negeri melalui reformasi kepimpinan yang lebih inklusif dan berpaksikan prestasi.

Mohammad Bahrin juga yakin, SEDCO akan terus komited untuk melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri secara telus dan efisien, selaras dengan matlamat pembangunan ekonomi negeri dan kepentingan rakyat, khususnya dalam memperkasa golongan Bumiputera merentasi pelbagai sektor.

“Saya menggesa pelbagai pihak agar berhenti daripada mempolitikkan isu pelantikan Ar.James. Beri ruang dan peluang kepada beliau bekerja, membawa bersama visi baharu untuk memperkukuhkan lagi kedudukan SEDCO sebagai peneraju pembangunan ekonomi negeri Sabah”, katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles