TAWAU : Hanya kerana dijanjikan upah lumayan untuk sekali perjalanan, nasib ‘keldai dadah’ akhirnya berpenghujung di penjara.
Itulah nasib malang yang menimpa ramai ‘keldai dadah’ di Sabah yang telah dijadikan alat oleh sindiket pengedaran antarabangsa.
Menurut Penasihat Pertubuhan Pecegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto, Sabah telah menjadi lubuk transit penyeludupan dadah khasnya syabu ke luar negara ekoran kedudukannya yang strategik iaitu bersempadan dengan Filipina dan Indonesia serta laluan laut yang luas dan sukar dipantau.
“Berdasarkan penelitian, sindiket antarabangsa agresif merekrut rakyat tempatan, khususnya belia menganggur, pelancong, wanita muda dan warga emas untuk dijadikan penghantar dadah sama ada secara fizikal atau melalui penghantaran kurier.
“Ini terbukti apabila dua tangkapan besar telah dibuat di Sabah oleh pihak berkuasa dalam tempoh dua bulan terakhir iaitu Mac dan April tahun ini.
“Modus operandi mereka memang licik. Ada yang cuba menyorok dadah dalam bagasi, makanan dalam tin, mesin pencetak, malah dalam badan individu (‘body packing’). Ada individu yang tertarik dengan tawaran bayaran lumayan untuk sekali perkhidmatan tetapi mereka tidak sedar sedang dipergunakan sebagai ‘keldai dadah’,” katanya hari ini.
Difahamkan, bayaran antara RM3,000 hingga RM20,000 ditawarkan untuk setiap penghantaran bergantung kepada destinasi dan jumlah dadah. Namun, ramai yang tidak sempat menikmati upah tersebut apabila ditahan di lapangan terbang dalam atau luar negara.
Sebagai perkongsian, harga syabu di Malaysia dianggarkan sekitar RM150,000 hingga RM200,000 sekilogram, manakala di Australia dan Indonesia nilainya boleh melonjak hingga RM800,000. Keadaan ini menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit yang amat strategik.
“Sabah menjadi sasaran kerana sindiket tahu kawalan sempadan di sini mencabar dengan laluan laut dan darat yang banyak. Memburukkan keadaan, ramai yang termakan umpan kerana tekanan ekonomi yang dihadapi dan mahu mencari ‘wang mudah’ lumayan,” tambah Zaki yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Tawau.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja luar negara atau ‘peluang mencari rezeki’ yang tidak masuk akal. Ini kerana, apa saja tawaran yang bunyinya terlalu baik, kebiasannya memiliki helah di sebaliknya.
“Jangan gadai nyawa semata-mata kerana wang. Sekali terjebak, hidup boleh musnah,” tambah Zaki lagi.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh disalurkan terus kepada pihak berkuasa khasnya PDRM bagi membendung jenayah tersebut.