Kenyataan media parti KDM (8 April 2025)
KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hari ini, menafikan yang parti itu menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketua Penerangannya, Mohd Ari-Nadzrah Abd Rahman berkata, KDM masih kekal dengan keputusan sebelum ini, iaitu bergerak solo pada PRN17 nanti.
Katanya, mana-mana program parti lain yang mengaitkan KDM adalah tidak benar termasuklah yang tular di media sosial hari ini.
“KDM ingin tegaskan yang kita sudah membuat keputusan untuk bergerak solo pada PRN17 nanti dan keputusan itu kekal.
“Sebarang program diadakan oleh parti lain yang mengaitkan KDM adalah tidak betul dan di luar pengetahuan kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Ari-Nadzrah berkata demikian sebagai mengulas berhubung satu program yang tular di media sosial, kononnya dianjurkan Parti Sedar Rakyat (SEDAR) bersama KDM adalah tidak benar dan berlangsung tanpa pengetahuan parti itu.
“Ini juga mungkin bertujuan untuk mencemarkan reputasi KDM sebagai sebuah parti tempatan yang akan bersaing pada PRN17 nanti,” katanya.