TAWAU : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenal pasti tapak tanah cadangan bagi pembinaan Dewan Serbaguna bernilai RM2 juta dibina di kawasan Merotai.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, ini berikutan pengumuman kelulusan pembinaanya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada 16 Februari lalu.
Katanya, lokasi ini bersesuaian berikutan mengambil kira pembinaan kawasan infrastruktur termasuk dewan, parkir kenderaan serta padang membabitkan keluasan secara keseluruhannya lebih 1.2 hektar.
“Kita melihat cadangan tapak ini selepas mengambil kira kedudukan tanah tinggi serta dikenal pasti bebas daripada masalah banjir.
Pemilihan tapak cadangan ini terletak dalam pelan perancangan pembangunan jangka masa panjang Pekan Merotai Baharu, berhampiran Kijang Point,” katanya.
Liew berkata, Kerajaan Negeri mahu melihat pembinaan dewan baharu ini menjadi nadi kepada aktiviti masyarakat di Merotai.
“Ini termasuk membabitkan ekonomi, sosial dan kebudayaan, sekali gus mampu menjadi lokasi pusat tumpuan awam bagi perkembangan ekonomi untuk anak Merotai.
“Ketua Menteri turut mengumumkan Peruntukan Lampu Solar berjumlah RM1.9 juta pemasangan lampu solar dari kawasan persimpangan Jambatan Putih sehingga ke Kampung Sungai Udin,” jelas Liew.
Menurutnya, ini sebagai usaha menerangi jalan utama di laluan Merotai–Kalabakan serta pewartaan Kampung Melati Burut dan Kampung Iban sebagai perkampungan sah terbaharu di kawasan Merotai.
“Ini merupakan bukti keprihatinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan Merotai tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Ini selaras dengan matlamat digariskan Ketua Menteri dalam memastikan Merotai seiring dengan kawasan lain di negeri ini, “ kata Liew.