Oleh Dr. Davina Markus Majihi (Ahli Korporat Perniagaan) dan Dr. Awang Faisal Assyiffa (Ahli Ekonomi dan Akademik)
KOTA KINABALU – Ketika dunia dikejutkan dengan keputusan Amerika Syarikat mengenakan tarif baharu terhadap eksport Malaysia, kami melihat reaksi berbeza di tanah air tercinta Sabah.
Ya, sebagai ahli dalam bidang ekonomi dan korporat, kami sedar keresahan itu nyata. Namun, kami juga yakin satu perkara: Sabah tidak akan tumbang dengan satu sekatan asing.
Sebaliknya, ini peluang besar untuk Sabah menilai semula kekuatannya, menyusun semula strategi, dan memanfaatkan potensi luar biasa yang sudah lama dimiliki tetapi belum cukup digilap.
Sebagai negeri pengeluar utama petroleum mentah, LNG, dan minyak sawit, Sabah berada dalam kedudukan strategik yang sangat unik.
Dalam pengalaman kami, projek-projek besar seperti di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) membuktikan bahawa Sabah tidak sekadar jadi pembekal bahan mentah, tetapi mampu jadi pemain utama dalam ekonomi hiliran jika diberikan ruang dan kepercayaan.
Kepimpinan Stabil, Arah Tuju Ekonomi yang Jelas
Kami melihat kesungguhan kepimpinan negeri hari ini di bawah YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai kunci penting.
Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan hanya dokumen di atas kertas, tetapi satu kompas yang mengarahkan Sabah ke masa depan lebih tersusun dan berpaksikan rakyat Sabah.
Bukan saja untuk jangka pendek, tapi demi masa depan generasi akan datang.
Tadbir urus baik, pengurusan wang negeri yang berhemah, dan keutamaan kepada peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat Sabah jadi asas kepada kestabilan ekonomi negeri.
Daripada Halangan Menjadi Peluang
Kami tidak menafikan, tarif Amerika mungkin menjejaskan eksport Sabah ke negara tersebut.
Tetapi dalam dunia yang semakin terbuka, Sabah tidak boleh bergantung hanya pada satu pasaran. Sepanjang pengalaman kami dalam rundingan dan jaringan perniagaan, kami melihat sendiri bagaimana negara-negara seperti Jepun, Korea, Emiriah Arab Bersatu dan India sebenarnya lebih terbuka, lebih progesif dan lebih mesra.
Mereka kini buka banyak ruang untuk produk kita – dari LNG, minyak sawit hinggalah makanan berasaskan tumbuhan.
Ditambah pula dengan Malaysia sebagai ahli kepada Perjanjian Perdagangan Bebas RCEP, Sabah sekarang ada kelebihan besar untuk masuk ke pasaran serantau tanpa halangan tarif AS.
Ini bukan hanya baik untuk syarikat besar, tapi juga untuk pengusaha kecil yang kini boleh akses pasaran antarabangsa dengan lebih mudah dan kos dagangan yang lebih rendah. Ini realiti baru yang harus kita manfaatkan.
Nilai Tambah & Peluang Anak Muda
Apa yang paling kami tekankan ialah keperluan Sabah untuk memberi tumpuan kepada pembangunan sektor hiliran iaitu memproses bahan mentah kepada produk bernilai tinggi seperti petrokimia, sabun sawit dan biodiesel. Ini penting kerana produk siap lebih stabil dari segi harga dan permintaan.
Kemajuan kawasan industri seperti SOGIP membolehkan kita tarik pelaburan baharu, cipta peluang kerja berkemahiran & bergaji tinggi untuk anak-anak muda Sabah, serta beri manfaat kepada syarikat tempatan. Langkah ini akan bantu kukuhkan ekonomi Sabah untuk jangka panjang.
Dan apabila sektor hiliran maju, Sabah tidak perlu lagi risau sangat tentang turun naik harga pasaran dunia.
Kami sendiri terlibat dalam sektor hiliran dan melihat bagaimana projek ini bukan saja mengubah landskap ekonomi, tetapi membuka masa depan baharu untuk ribuan anak muda bumiputera Sabah.
Dari Kampung Ke Pasaran Global
Kerajaan negeri terus komited memastikan kemajuan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat — termasuk pekebun kecil, nelayan dan usahawan mikro.
Program pembangunan kapasiti, inisiatif pembiayaan mikro dan sokongan digitalisasi pemasaran kini sedang giat dijalankan bagi membolehkan rakyat Sabah terus maju dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah.
Keyakinan Terhadap Anak Bumiputera Sabah – Kita Boleh Urus Sendiri
Kami percaya, kekuatan sebenar Sabah bukan hanya pada sumber semula jadi. Ia terletak pada rakyat Sabah.
Ramai anak Sabah yang kini mengetuai syarikat korporat, menjadi pakar dalam teknologi, malah duduk dalam lembaga antarabangsa. Maka, mengapa kita masih ragu dengan kemampuan sendiri?
Kini tiba masanya kita tanam keyakinan bahawa Sabah boleh dan harus urus ekonominya dengan lebih berautonomi. Kita tidak anti-persekutuan, tetapi kita mahu Sabah diberi kuasa dan ruang yang selayaknya.
Sabah dan Persekutuan – Kerjasama Strategik
Walaupun Sabah mulai berdikari dalam banyak hal, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tetap penting.
Hubungan yang baik dengan agensi seperti MATRADE, MIDA dan MITI bantu Sabah kembangkan pasaran, dapatkan pelabur, dan bawa masuk teknologi baru.
Bagi memperkukuh kesiapsiagaan negeri terhadap perubahan mendadak dasar perdagangan antarabangsa, kerajaan Sabah sebaiknya juga mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu unit pemantauan perdagangan khas di peringkat negeri yang berfungsi secara bebas.
Unit ini boleh bertindak sebagai penasihat strategik kepada kerajaan negeri dan menyampaikan maklumat terkini berkaitan perkembangan ekonomi luar.
Langkah ini penting agar Sabah tidak bergantung semata-mata kepada pusat untuk buat keputusan ekonomi penting.
Sabah Ada Kekuatan Sendiri
Sabah mempunyai segala kelebihan dari segi kekayaan sumber semula jadi, lokasi strategik, tenaga kerja yang berdedikasi serta kepimpinan negeri yang berwawasan dan konsisten.
Apa yang diperlukan kini hanyalah keyakinan sepenuhnya terhadap keupayaan sendiri, bahawa Sabah mampu mentadbir ekonominya secara lebih berautonomi, berdiri teguh di pentas global, dan terus menjadi antara tunjang utama pertumbuhan Malaysia.