Umat Islam digalak sambut Aidilfitri secara sederhana – Salleh

KOTA KINABALU: Umat Islam digalakkan untuk menyambut Aidilfitri secara sederhana dan tidak berbelanja lebih daripada kemampuan yang boleh menyusahkan diri sendiri.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini penting kerana ramai dari kalangan masyarakat negara ini yang hidup bergantung pada hutang.

Menurutnta statistik menunjukkan hutang isi rumah Malaysia mencecah 81.2% daripada KDNK pada 2023, antara yang tertinggi di Asia.

“Kad kredit, pinjaman peribadi dan ansuran bulanan kini dianggap biasa.

“Gaya hidup sebegini semacam dianggap normal lebih-lebih lagi apabila ada tekanan untuk kelihatan berjaya,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata
media sosial mendorong ramai berbelanja demi imej, bukan keperluan.

“Biar papa asal bergaya” bukan lagi sekadar peribahasa — ia sudah jadi budaya.

“Realitinya, kos sara hidup meningkat, gaji tidak seiring. Tidak ada pendapatan tambahan. Ramai terperangkap dalam kitaran belanja → hutang → bayar → ulang semula, tanpa simpanan, tanpa ketenangan,” katanya.

Oleh itu, sempena Syawal yang dirai, katanya adalah wajar untuk mengambil peluang itu untuk muhasabah diri, termasuk mengurangkan belanja mengikutvemosi dan tidak membandingkan hidup sendiri dengan orang lain.

“Kita wajar mulakan tabiat menyimpan dan merancang kewangan.

“Ukurlah baju di badan sendiri. Hidup sederhana bukan satu kelemahan — ia tanda bijak dan berprinsip,” katanya sambil mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin”.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles