SANDAKAN : Umno Libaran akan memperjuangkan ketiga-tiga kerusi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Negeri Ke-17 (PRN17) bagi kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Libaran.
Ketua Umno Bahagian Libaran Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata BN juga akan memastikan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Libaran akan menjadi milik BN.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran berkata pihaknya belum mengetahui siapa akan menjadi pasukan BN dalam PRN Ke-17 dimana ia telah menyatakan bahawa BN tidak akan bergerak solo pada PRN itu.
“Samada kita bergabung dengan mana-mana parti atau apa sahaja ketetapan kelak, kita tetap akan mempertahankan ketiga-tiga kerusi ini kerana ia adalah kerusi tradisi BN/Umno di Parlimen Libaran ini,” jelasnya.
“Mengikut sumber daripada keputusan yang telah di putuskan Umno Sabah, kita tidak menutup dan juga tidak membuka pintu sepenuhnya samada mahu kolaborasi bersama parti-parti lain,” ujarnya.
Justeru itu, Suhaimi berkata dalam ketetapan Umno dan BN kawasan Libaran, ia akan tetap mempertahankan kesemua tiga kerusi tradisi Umno / BN pada PRN17 kelak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Kepimpinan Umno Bahagian Libaran di Aisyadelia Cottage, Batu 14,Sandakan pada Jumaat.
Hadir sama, ADUN Sungai Manila merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran Datuk Mokran Ingkat dan barisan kepimpinan UMNO Libaran.
Pada majlis itu, beliau dan isterinya, Dato’ Nur Nazimah Hashim turut menyantuni anak-anak yatim dan menyampaikan sumbangan kepada mereka dalam memberikan keceriaan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Suhaimi juga menyampaikan zakat kepada ketua-ketua cawangan dan hadirin dari bahagian itu.
Terdahulu, pihaknya mengajak semua jentera parti itu agar bekerja keras dalam menghadapi PRN17 yang akan datang kerana nasib rakyat penting untuk terus diperjuangkan untuk kesejahteraan mereka.
Dalam masa yang sama, mereka juga perlu bersedia untuk menghadapi persidangan Umno yang dijadualkan bermula pada 7 April depan.
Berkenaan majlis Iftar itu, jelasnya, ia juga mengeratkan lagi sillaturahim sesama hadirin.