MP Sepanggar Diminta Fokus Kawasan Sendiri Sebelum Berhasrat Ke DUN

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, diminta menumpukan perhatian kepada kawasan yang diwakilinya terlebih dahulu sebelum menyatakan minat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.

Presiden Pertubuhan Prihatin Rakyat Sabah (PPRS), Datuk Mohd Fadli Fathullah, berkata sebagai wakil rakyat, Mustapha sepatutnya memberi keutamaan kepada penyelesaian isu-isu yang masih berlarutan di Sepanggar.

“Ahli Parlimen Sepanggar perlu memberi fokus kepada tanggungjawabnya sekarang.

“Sehingga kini, tidak banyak perubahan yang dapat dilihat di bawah pentadbirannya, khususnya dalam menangani isu air yang masih berlarutan serta pembangunan ekonomi di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut mengingatkan bahawa pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, telah mengumumkan Datuk Mohd Arsad Bistari dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebagai calon yang akan bertanding di DUN Tempasuk.

“Jadi saya menasihatkan beliau supaya memberi perhatian kepada kawasan Sepanggar dan memastikan amanah yang diberikan oleh rakyat dilaksanakan dengan baik sebelum memikirkan untuk bertanding di peringkat DUN,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles