TAWAU: Program Shopping Raya yang terakhir sempena Jelajah Iftar 2025 tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama UPPM Sabah telah berlangsung di pasaraya Servay Tawau, petang tadi, melibatkan kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan, merangkumi DUN Balung, Apas, Sri Tanjung, Kukusan, Tanjung Batu, Merotai, dan Sebatik.
Sebanyak 51 kanak-kanak terpilih dari 2 kawasan Parlimen berkenaan dibawa membeli pakaian Raya sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Secara keseluruhan, seramai 1,200 kanak-kanak yang memerlukan telah mendapat manfaat melalui program Shopping Raya sepanjang Jelajah Iftar 2025. Bilangan penerima meningkat berbanding 850 orang pada tahun lepas.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak.
“Sungguh cepat masa berlalu, program ini hampir berakhir. Adalah amat bermakna untuk membantu anak-anak yang memerlukan. Program ini menjadi peringatan kepada saya dan keluarga agar sentiasa penuh kesyukuran, menghargai setiap rezeki yang ada dan tidak membazir.
Beliau turut menyatakan bahawa apa yang beliau kongsi adalah rezeki yang ingin dikongsi bersama, dan berharap dapat bekerjasama lagi pada tahun depan jika dipilih semula.
Sementara itu, pemimpin tempatan Datuk Aziah Atoh berkata, program Shopping Raya ini, yang turut melibatkan 24 Parlimen, memberi tumpuan kepada anak-anak yatim dan asnaf. Beliau merakamkan penghargaan kepada Datuk Dexter Lau dan Datin Siew atas sumbangan mereka.
“Kami sangat berterima kasih dan berharap Datuk Dexter akan terus menyumbang untuk menceriakan anak-anak dan golongan asnaf pada masa akan datang. Ini merupakan tahun kedua kami bekerjasama, dan saya amat menghargai komitmen beliau sebagai seorang individu korporat yang membantu secara langsung sejak hari pertama lagi,” kata beliau.
Pemimpin kawasan Kukusan, Datuk Abdul Karim Wahid mengucapkan terima kasih kepada KTC atas penajaan program Shopping Raya. Beliau berharap KTC terus berkembang dan menjadi contoh kepada syarikat lain, serta mengajak kawasan Kalabakan dan Tawau untuk bersatu padu dalam menjaga kebajikan dan mengatasi masalah kemiskinan.