TAWAU – Jelajah Iftar 2025 tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama UPPM Sabah meneruskan perjalanan ke kawasan Parlimen kedua terakhir petang tadi, meliputi Kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan, yang merangkumi DUN Balung, Apas, Sri Tanjung, Kukusan, Tanjung Batu, Merotai, dan Sebatik.
Lebih 700 orang hadir, dan 70 orang dari golongan asnaf, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya, serta 20 imam kariah menerima sumbangan khas.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan merangkap Ahli Parlimen Kalabakan dan ADUN Tanjung Batu, YB Datuk Andi Muhammad Suryady berkata, acara tahunan ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim serta memberikan sumbangan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta.
Andi menekankan peranan penting UPPM sebagai tulang belakang dan jentera utama bagi setiap ADUN dalam memahami serta menangani permasalahan masyarakat di kawasan masing-masing. UPPM juga berfungsi sebagai mata dan telinga Kerajaan dalam menyampaikan agenda dan cadangan penambahbaikan.
Manakala Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, KTC melalui program tanggungjawab sosial korporat menggalakkan perkongsian rezeki dengan masyarakat.
Dexter juga berasa amat berbesar hati berbuka puasa bersama masyarakat luar bandar dan menekankan pentingnya pembangunan industri tempatan serta penciptaan peluang pekerjaan.
Tambah beliau, pihak KTC telah salurkan RM1.5 juta untuk menjayakan Jelajah Iftar tahun ini.
Dexter Lau anak jati berasal dari Sabah, berjaya menerajui KTC syarikat yang pertama disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan tersenarai dalam mencapai prestasi terbaik dalam pengedaran penguna dan pergudangan ( CPG – Consumer Package Goods ).
KTC terus mengukuhkan pertumbuhannya dengan strategi pengembangan dalam FMCG dengan agresif demi membantu membuka peluang pekerjaan dan menaikkan ekonomi Sabah.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah ADUN Balung, YB Datuk Hamild Awang, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah merangkap ADUN Kukusan, YB Datuk Rina Jainal, ADUN Sebatik, YB Datuk Hassan Gani, Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin, dan Pegawai Daerah Kalabakan, Murad And Rashid.