PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada kelab anggota polis Penampang sebagai penghargaan terhadap khidmat pasukan itu memastikan ketenteraman awam dan keselamatan dalam negara.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyampaikan sumbangan itu semasa menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang, di sini, hari ini.
“Sepertimana yang saya nyatakan semasa majlis berbuka puasa bersama anggota-anggota IPD Penampang tempoh hari, hari ini saya sampaikan sumbangan daripada peruntukan Ahli Parlimen sebanyak RM30,000 kepada kelab anggota polis Penampang.
“Walaupun jumlah sumbangan ini kecil berbanding jasa dan pengorbanan mereka, namun ia adalah tanda penghargaan kita atas peranan besar anggota polis memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya.
Ewon berkata, peranan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keamanan dan keselamatan negara amat penting bagi memudahkan aktiviti keusahawanan dan ekonomi negara terus berkembang.