Premis Tamu Desa beri kemudahan selesa kepada usahawan tamu: Ewon

KUDAT: Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited menyediakan kemudahan premis Tamu Desa yang lebih selesa kepada usahawan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata Premis Tamu Desa Pekan Sikuati, Kudat, merupakan salah satu daripada 94 premis Tamu Desa yang telah dilaksanakan setakat ini di kedua-dua negeri itu.

“Pelaksanaan projek premis Tamu Desa inj memberikan kesan positif kepada para usahawan tamu yang kini menikmati kemudahan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya gembira kerana para peniaga dan usahawan di sini sangat menghargai kemudahan ini yang diberikan oleh Kerajaan MADANI melalui KUSKOP.

“Kita telah memperuntukkan hampir RM200,000 bagi membina premis ini. Sebelum ini usahawan-usahawan tamu hanya menggunakan kanopi untuk berjualan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau premis tersebut dalam lawatan kerja di Kudat hari ini.

Ewon berkata, pelaksanaan Premis Tamu Desa akan diteruskan tahun ini, termasuk di Kudat susulan beberapa permohonan baharu yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.

Katanya lagi, pelaksanaan projek ini selari dengan dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP), yang memberi fokus tambahan kepada keperluan keusahawanan dan koperasi di Malaysia Timur, khususnya Sabah dan Sarawak.

“KUSKOP akan terus menyokong pembangunan keusahawanan dan koperasi di seluruh negara. Premis Tamu Desa Pekan Sikuati merupakan antara contoh terbaik pelaksanaan projek ini dan boleh dijadikan model bagi projek-projek Tamu Desa yang akan datang.

“Saya juga menghargai kepimpinan Ahli Parlimen Kudat, yang memantau sendiri pelaksanaan projek ini dan turut mengemukakan beberapa lagi permohonan untuk membina premis Tamu Desa di kawasan Parlimen Kudat,” katanya.

Terdahulu itu, Ewon turut meninjau Premis Tamu Desa Rondomon di Matunggong, yang merupakan antara projek yang dibina oleh KUSKOP tahun lalu.

“Premis ini bertujuan menyediakan kemudahan lebih selesa kepada usahawan-usahawan tamu mingguan di luar bandar di Sabah dan Sarawak. Saya gembira kerana penduduk yang saya temui menyatakan penghargaan mereka kepada Kerajaan MADANI atas inisiatif ini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles