Ewon santuni polis daerah Kota Belud, sampaikan sumbangan

KOTA BELUD: Sumbangan dan peranan besar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keamanan, keharmonian dan keselamatan negara membolehkan kemajuan ekonomi serta pembangunan fizikal dapat dijayakan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, ia termasuklah aktiviti keusahawanan dan koperasi di negara ini.

Katanya, selaku wakil rakyat di kawasan Kadamaian, beliau amat menghargai usaha dedikasi pasukan polis dalam melengkapkan pembangunan khususnya di daerah Kota Belud.

“Saya ingin merakamkan penghargaan atas sumbangan dan peranan besar PDRM dalam menjaga keamanan, keharmonian dan keselamatan negara.

“Menerusi usaha itu, ia membolehkan kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal dapat dijayakan termasuklah aktiviti keusahawanan dan koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama Ketua Polis Daerah dan anggota serta pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, semalam.

Sementara itu, pada majlis sama, Ewon berkata, sebagai penghargaan kepada badan beruniform itu, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM22,500 daripada peruntukan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian.

Selain itu katanya, beliau turut menyampaikan sumbangan ramadan kepada anggota dan balu anggota untuk meringankan bebanan yang dihadapi.

“Semoga semua anggota dan ahli keluarga diberikan keberkatan dan kesejahteraan sepanjang menjalankan amanah dan khidmat.

“Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Polis ke-218 yang akan diraikan pada 25 Mac ini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles