SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin menyatakan sokongan terhadap inisiatif Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang kini giat melaksanakan kerja-kerja menceriakan semula bangunan lama di sekitar pusat bandar.
Menurutnya, kawasan dari pusat bandar menuju ke Bandar Ramai-Ramai, Bandar Leila dan Bandar Nam Tung dahulunya merupakan kawasan perniagaan yang rancak dan menjadi nadi ekonomi Sandakan.
Namun, perubahan masa menyebabkan banyak bangunan di kawasan itu kelihatan usang, sekaligus menjejaskan imej bandar.
“Saya menyambut baik usaha MPS untuk membersihkan tumbuhan liar dan menaik taraf wajah bangunan. Ia merupakan langkah yang mampu mengubah keadaan sedia ada dan membawa nafas baharu kepada persekitaran.
“Saya yakin dengan kerjasama antara kerajaan dan pemilik bangunan, inisiatif ini bukan sahaja mampu mencantikkan semula bandar, malah menarik semula kehadiran orang ramai dan peluang perniagaan ke kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
George berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Presiden MPS, Walter Kenson pada Ahad.
Beliau berkata, di bawah pelan penambahbaikan ini, MPS merancang bekerjasama dengan syarikat cat yang dilantik kerajaan bagi melaksanakan kerja-kerja mengecat semula bangunan secara menyeluruh.
Walter turut menyatakan persetujuan bahawa beberapa bangunan lama di kawasan berkenaan kini kelihatan uzur, dengan cat mengelupas serta ditumbuhi tumbuhan liar yang mencacatkan pemandangan bandar. Justeru, pihak MPS telah memulakan kerja-kerja pembersihan sebagai langkah awal.
Dalam masa terdekat, MPS akan mengadakan pertemuan bersama wakil pemilik premis untuk membincangkan bentuk kerjasama dan menggalakkan mereka menyertai pelan pengindahan ini.
Bagi premis yang disewakan kepada penyewa tanpa dokumen sah, pihak MPS juga akan mempertingkat pemantauan dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan dan kebersihan persekitaran sentiasa terjaga.
“Sejak Presiden MPS yang baharu ini dilantik, beliau kerap turun padang melawat pasar dan kawasan sekitar Bandar Ramai-Ramai serta Leila, dan aktif menyelesaikan isu rakyat. Ini membuktikan komitmen beliau dalam memperindahkan wajah Sandakan.
“Saya percaya dengan sokongan masyarakat, pelan ini mampu mengubah landskap bandar dan mewujudkan suasana yang lebih selesa dan mesra untuk semua,” katanya.