KUDAT: Kelab Wikimedia Kent dengan kerjasama Jabatan Bahasa Kadazandusun (JBKD) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent bersama Wikimedia Community User Group Malaysia (WCUGM) berjaya menganjurkan Wikibudaya Momogun 2025 di sini selama dua hari bermula 20 Mac.
Ia merupakan program berimpak tinggi dalam memartabatkan bahasa dan budaya Rungus melalui platform digital.
Bertempat di Kolej Vokasional Kudat (KVK), Sabah, program itu menghimpunkan 41 pelajar dalam usaha memperkayakan kandungan bahasa Rungus serta bahasa Momogun lain di Wikikamus, sebuah platform sumber terbuka untuk dokumentasi bahasa.
Gabungan Lawatan Budaya & Digitalisasi Bahasa
Turut serta dalam program itu ialah En. John Bin Gitom, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, En. Amidy Malagob, Pensyarah Ko-Kurikulum, Puan Rosmahwati Binti Ebbie, Pensyarah Jabatan Bahasa Kadazandusun serta tiga wakil dari WIkimedia Malaysia iaitu Encik Farouk Azim, Penyelaras Program, Encik Ahmad Wafiq Aqil Bin Kamarul, Ahli Lembaga Pengarah Wikimedia Community User Group Malaysia (WCUGM) dan Encik Mohammad Zahirul Nukman bin Mohd Narakna, kakitangan WCUGM.
Program itu turut disertai oleh 10 siswa guru PISMP BKD September 2021/2026 dan Ogos 2024/2029.
Para siswa guru berpeluang berkunjung ke Walai Tobilung Cultural Village dan berkesempatan untuk menimba ilmu berkenaan cara hidup masyarakat Tobilung.
Selain itu, siswa guru juga berkesempatan ke Kg. Sumangkap Gong Factory dan DMA Gombizau Honey Bee Farm.
Lawatan tersebut bertujuan mengumpulkan bahan visual untuk dimuat naik ke WikiCommons, repositori media global yang menyokong pemeliharaan budaya.
Pada hari kedua, bengkel intensif Wikikamus, bermula dengan pendedahan asas mengenai platform tersebut sebelum mendalami teknik penyuntingan dan dokumentasi bahasa Rungus beserta maksudnya.
Generasi Muda Bangkit Memelihara Bahasa Ibunda
Menurut wakil pelajar KV Kudat, program ini membuka mata mereka terhadap kepentingan mendokumentasikan bahasa ibunda dalam talian.
“Sebagai generasi muda, kami berasa bertanggungjawab memastikan bahasa Rungus tidak pupus.
“Program ini memberi pengalaman baharu—daripada kemahiran elektronik dan pertukangan kepada pendigitalan bahasa,” katanya.
Sementara itu, M Eqqalson Dikson selaku pengerusi program itu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap lebih ramai anak muda akan menyertai inisiatif ini demi kelestarian bahasa Rungus di peringkat global.
Teknologi: Alat Berkuasa dalam Pemeliharaan Warisan
Wakil Wikimedia Community User Group Malaysia, Encik Ahmad Wafiq Aqil bin Kamarul, menyifatkan usaha ini sebagai strategi penting dalam melestarikan bahasa minoriti.
“Teknologi ialah alat paling berkesan dalam memelihara bahasa yang semakin terpinggir. Dengan inisiatif ini, bahasa Rungus dan bahasa lain dapat terus berkembang dan tidak dilupakan,” katanya.
Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent, Encik John bin Gitom, pula berkata usaha memartabatkan bahasa Rungus harus diteruskan tanpa mengenal lelah.
“Biarlah semangat ini tidak Angarol (tumpul), sebaliknya sentiasa Atarom (tajam), memastikan bahasa dan budaya Rungus terus hidup dalam arus digital,” katanya.
Ts. Johori Bin Botohong, Pengarah Kolej Vokasional Kudat turut menekankan kepentingan pendigitalan bahasa minoriti dalam mengekalkan warisan etnik.
“Program ini bukan sahaja memberi ilmu baharu kepada pelajar, malah mendidik mereka tentang tanggungjawab sosial dalam mengekalkan identiti budaya melalui teknologi.”
Kesinambungan Usaha Pemeliharaan Bahasa
Secara keseluruhannya, Wikibudaya Momogun 2025 berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pemeliharaan bahasa ibunda serta memperkasa kosa kata Rungus dalam dunia digital.
Diharapkan program ini akan diteruskan dengan penglibatan lebih banyak institusi dan komuniti, agar warisan budaya Rungus terus lestari dalam arus digitalisasi global.